Malaysia Oversight

Penggunaan Buku Teks Digital AI Di Korea Selatan Dihentikan Kerana Bermasalah

By Amanz in October 17, 2025 – Reading time 2 minute
Penggunaan Buku Teks Digital AI Di Korea Selatan Dihentikan Kerana Bermasalah


Penggunaan Buku Teks Digital AI Di Korea Selatan Dihentikan Kerana Bermasalah

October 17, 2025
Kecerdasan Buatan

Effi Saharudin

Tahun lalu kami laporkan inisiatif Korea Selatan mengintegrasikan penggunaan buku teks digital dengan kecerdasan buatan (AI) di sekolah. Sasarannya ialah buku teks AI ini boleh memberikan pengalaman pembelajaran yang diperibadikan untuk setiap pelajar. Selepas hanya empat bulan diperkenalkan, program ini telahpun dihentikan.

Isu yang muncul ialah kandungan fakta yang tidak tepat, meningkatkan masa penggunaan skrin oleh kanak-kanak, isu teknikal dan menambah beban kerja kepada guru serta pelajar. Pelajar merungut buku teks janaan AI tidak menawarkan kandungan yang mereka rasakan serasi dengan tahap pemahaman mereka. Guru pula bergelut dengan isu teknikal dalam kelas apabila buku tidak boleh diakses pada peranti. Pengenalan buku teks AI di Korea kini dilihat sebagai langkah yang terlalu tergesa-gesa tanpa ia diuji terlebih dahulu untuk melihat keberkesanannya di dunia sebenar.

AI

Kerajan Korea Selatan telah membelanjakan 1.2 trilion won (RM 3.6 bilion) ke dalam program ini dalam bentuk perolehan peranti dan melatih guru menggunakannya. Penerbit buku teks pula membelanjakan lebih 800 bilion won (~RM 2.4 juta) membangunkan buku-buku teks yang kini hanya dilabel sebagai buku kajian tambahan yang tidak diwajibkan digunakan dalam kelas.

Sejak dari awal lagi lebih daripada 50,000 ibu bapa dan penjaga menandatangani petisyen supaya memberikan tumpuan kepada kesejahteraan pelajar dan bukannya kepada pengenalan teknologi terkini. Antara komen yang diberikan mereka ialah sudah timbul isu penggunaan peranti yang terlalu lama dalam kalangan pelajar. Mewajibkan lagi penggunaan buku teks digital dalam kelas dilihat sebagai hanya memburukkan keadaan.

Penggunaan AI dalam kelas juga adalah topik yang hangat diperkatakan di kalangan ibu bapa di Malaysia dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengatakan ia akan diperkenalkan di sekolah rendah bermula 2027. Persoalan mengenai jurang digital yang bakal wujud, kos untuk menggunakan data dan juga keserasian memperkenalkan subjek AI di sekolah masih belum terjawab. Malahan garis panduan tadbir urus dan kod etika AI negara juga masih belum diketahui kandungannya.

Rest of The World

Komen

Sila log masuk untuk menghantar komen.



Source link