BN dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 seminggu sebelum hari penamaan calon, kata pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.
“BN tidak akan bertanding di seluruh 73 kerusi DUN dan kita akan teliti kawasan fokus,” kata Ahmad Zahid yang juga presiden Umno kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur malam tadi.
Mengulas kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya itu, Ahmad Zahid berkata BN akan melipatgandakan usaha untuk memperoleh kemenangan bagi setiap DUN ditandingi susulan kekalahan yang dialami dalam PRN Sabah ke-16 pada 2020.
Dia turut mengulangi pendirian BN untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN kali ini, namun mengakui ia memerlukan kerjasama politik dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri.
“Setakat ini tiada penganalisis sebut ada parti atau gabungan boleh bentuk kerajaan dengan majoriti, ertinya realiti politik Sabah mesti ada jalinan terutama kerjasama semasa prapilihan raya dan pascapilihan raya,” katanya.
Terdahulu, semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara itu, Ahmad Zahid berkata dia telah menerima senarai calon dengan sekurang-kurangnya tiga hingga lima bagi setiap DUN yang akan ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Pada 6 Okt, Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri itu.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik.
-Bernama






