Malaysia Oversight

EU tegas tak iktiraf pilihan raya dilaksanakan junta tentera Myanmar

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 2 minute
EU tegas tak iktiraf pilihan raya dilaksanakan junta tentera Myanmar


Ketika junta tentera Myanmar bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya kebangsaan pada 28 Dis ini, Kesatuan Eropah (EU) menegaskan blok itu tidak akan mengiktiraf PRU tersebut.

“Tiada satu pun syarat untuk pilihan raya yang adil dan bebas telah dipenuhi,” kata Wakil Khas Hak Asasi Manusia EU, Kajsa Ollongren.

Dia berkata demikian kepada Malaysiakini pada pada akhir lawatannya ke Malaysia sempena Forum Masyarakat Awam Asean-EU dan Dialog Dasar Asean-EU mengenai Hak Asasi Manusia.

Myanmar ditadbir oleh tentera selepas mereka merampas kuasa dan menggulingkan pimpinan Aung San Suu Kyi pada Feb 2021.

Pemenang Anugerah Keamanan Nobel itu sebelumnya mentadbir negara tersebut selepas memenangi PRU.

Sejak rampasan kuasa berlaku, Myanmar dibayangi konflik apabila kumpulan penentang mengangkat senjata menentang junta menyebabkan beribu-ribu orang terbunuh, manakala jutaan yang lain kehilangan tempat tinggal.

Kata Kajsa, PRU yang dirancang itu merupakan junta tentera yang hanya akan mengukuhkan cengkaman pasukan terbabit.

“Kami tidak akan mengiktiraf mereka,” katanya lagi.

Kajsa sebaliknya menggesa agar junta tentera memberi perhatian kepada aspek lain seperti menamatkan keganasan dan terlibat dalam dialog bagi mencari penyelesaian konflik di negara tersebut.

Katanya, EU tidak akan memberi sebarang kredibiliti kepada junta tentera dengan sebarang langkah seperti menghantar pemerhati, atau membenarkan sebarang syarikat atau individu terlibat.

Sebaliknya, kata Kajsa, EU menegaskan bahawa konflik yang berlaku di negara itu mesti dihentikan segera.

“Dan kami amat berharapnegara-negara jiran, juga Asean, akan terus mendesak untuk penyelesaian konflik ini,” katanya.

Dia juga menegaskan bahawa kesan serantau yang lebih luas daripada tindakan junta tentera terbabit dengan menyatakan bahawa setiap negara Asean yang ditemuinya “terjejas oleh keadaan di Myanmar” serta menggugat kestabilan serantau.

Kebimbangan terhadap pelaksanaan PRU itu muncul selepas media Myanmar mendakwa Menteri Luar, Mohamed Hasan, bersetuju untuk menghantar pemerhati bagi memantau perjalanan PRU berkenaan.

Bagaimanapun Mohamad dilaporkan berkata pendirian berhubung rancangan junta tentera Myanmar mengadakan PRU itu akan diputuskan secara bersama oleh Asean, bukannya satu-satu negara.

[Baca berita asal]



Source link