Bapa tiri kepada pelajar sebuah sekolah di Petaling Jaya yang terbunuh dalam insiden tragik pada Selasa lalu merayu pengguna media sosial supaya mengelak daripada menyebarkan berita palsu mengenai mangsa.
Pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur petang tadi, How Boon Chin berkata, apa yang dia mahukan hanyalah jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada Yap Shing Xuen.
Katanya, pelbagai khabar angin yang bertebaran di media sosial sudah sampai ke tahap yang tidak dapat ditanggung oleh keluarganya.
“Apa yang utama ialah, harap-harap (pengguna) media sosial itu tidak mengelirukan orang ramai.
“Saya malah mendapat tahu (ada yang mendakwa) mangsa kena rogol. Itu tak masuk akal.
“Tolong hentikan semua perkara karut ini, dan perkara terpenting ialah, saya mahukan jawapan untuk anak perempuan saya,” katanya.
Tambah How, dia mahu kejadian seumpama itu tidak berulang lagi kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat bukan sesuatu yang menakutkan.
Dia juga mendakwa diberitahu bahawa hanya kira-kira 100 orang pelajar saja hadir di sekolah Yap semalam.
Dalam kejadian 14 Okt lalu, Yap yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsan Bandar Utama Damansara (4) diserang pelajar lelaki selepas memanjat tandas ketika mangsa menggunakan kemudahan tersebut.
Suspek yang berusia 14 tahun itu kini direman untuk membantu siasatan polis.
Yap, 16, kemudian disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Ada penipu ambil kesempatan
Ekoran kejadian itu pelbagai dakwaan dibuat oleh orang ramai di media sosial, termasuk mengaitkan isu cinta tidak berbalas serta masalah mental.
Bagaimanapun polis hari ini mengesahkan suspek tidak pernah meluahkan perasaannya kepada mangsa, selain menegaskan remaja terbabit hanya mengikuti sesi kaunseling bagi membantu kaedah pembelajarannya.
Sementara itu isteri How, Wong Lee Ping, mendakwa abangnya turut dikaitkan dengan insiden tersebut dan ada pihak mendakwa lelaki terbabit sebagai bapa suspek.
Ekoran tuduhan tersebut, kata Wong, abangnya itu sudah membuat laporan polis.
Dalam sidang media sama, Wong berkata, anak perempuannya itu seorang yang pendiam namun suka bersukan, malah pernah mendapat tempat kedua dalam kejohanan bola tampar baru-baru ini.
“Dia seorang yang sangat berdisiplin dan tahu mengatur semua jadual dan programnya,” kata Wong menjelaskan tentang anak bongsu daripada dua beradik itu.
How menambah, Yap sangat bijak dan aktif kerana terlibat dalam banyak acara sukan khususnya bola tampar dan badminton.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menasihatkan sesiapa yang ingin membantu agar menyerahkan sumbangan masing-masing terus kepada keluarga mangsa, bukannya melalui mana-mana kod QR.
Hal itu kerana, kata Kok, ada pihak tidak bertanggungjawab sudah menyalahgunakan kod QR untuk kepentingan peribadi.
“Sesiapa yang ingin memberi bantuan kewangan, boleh datang terus ke Nirvana untuk menyumbang,” katanya.
Sebelum ini, China Press melaporkan ada individu tertentu mengambil kesempatan dengan menukar kod QR untuk pada penderma.
Obituari dengan kod QR asal dilaporkan ditukar supaya sumbangan orang ramai dimasukkan ke akaun lain.






