Malaysia Oversight

Lima warga Vietnam dicekup di KLIA2

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Lima warga Vietnam, termasuk dua remaja perempuan, ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai menggunakan cap pasport meragukan dalam cubaan untuk meninggalkan negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, kejadian dikesan sekitar jam 10.20 pagi oleh pasukan pemantau agensi itu ketika melakukan pemeriksaan rutin di balai pelepasan KLIA2.

“Hasil pemeriksaan terhadap lima individu berkenaan masing-masing tiga wanita dewasa dan dua remaja perempuan mendapati cap keluar dan masuk pada pasport mereka diragui ketulenannya dan dipercayai diperoleh secara tidak teratur.

“Semakan lanjut melalui sistem MyIMMS mendapati tiada sebarang rekod pergerakan keluar atau masuk yang sepadan dengan cap pasport terbabit.

“Siasatan awal juga menunjukkan kesemua suspek tidak pernah meninggalkan Malaysia dan telah tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” kata agensi itu.

Tambahnya, kesemua mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sindiket ‘fly’ ialah sindiket penipuan cap keluar-masuk pekerja asing yang diperoleh tanpa kehadiran warga asing secara fizikal.

Mengulas lanjut, AKPS berkata pihaknya akan terus memperketat kawalan dan pemantauan di semua pintu masuk utama negara bagi mengekang penggunaan dokumen perjalanan palsu atau diperoleh secara tidak sah.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan dan integriti sempadan negara sentiasa terpelihara,” kata agensi itu.



Source link