Amanah berpendapat, hujah PAS bahawa mereka enggan menamakan calon perdana menteri atas faktor keselamatan sebenarnya sekadar helah parti itu yang ingin menutup sesuatu yang lebih besar.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata sebelum ini PAS pernah mendakwa mereka memiliki “berlori-lori” calon perdana menteri yang boleh ditawarkan kepada pengundi, justeru tidak logik untuk parti itu enggan mengemukakan sebarang nama.
Katanya, andai calon terbabit disabotaj – seperti didakwa Presiden PAS, Abdul Hadi Awang semalam – mereka masih ada pemimpin lain dari ‘lori’ yang ketiga atau keempat yang boleh diketengahkan.
Tambahan pula, kata Mahfuz, PAS juga mempunyai empat orang menteri besar yang boleh ditawarkan sebagai pemimpin contoh seperti yang sering diuar-uarkan oleh parti tersebut.
“Hakikatnya mudah – PAS tidak berani menamakan calon perdana menteri kerana sedang berbalah dengan Bersatu.
“Bersatu sudah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tapi PAS masih mahu menonjolkan diri sebagai abang besar dalam PN.
“Daripada mengaku mereka sudah tak sepakat, lebih mudah cipta alasan konon ada risiko calon dijebak dengan jongkong emas atau dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Abdul Hadi – semasa membahaskan Belanjawan 2026 – mendakwa PAS tidak menamakan sebarang calon untuk perdana menteri kerana bimbang akan dikhianati seperti diletakkan jongkong emas atau dadah dalam kereta mereka.
PAS pernah kemuka calon PM
Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu mungkin dibuat sebagai sindiran kepada kes Yusoff Rawther iaitu bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan mengedar ganja serta dua pistol tiruan.
Mahkamah sudah melepas dan membebaskan Yusoff daripada pertuduhan tersebut selepas hakim berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atasnya.
Abdul Hadi dalam perbahasannya semalam juga menggariskan ciri-ciri seorang pemimpin yang diingini PAS, termasuk seseorang yang terjaga integritinya serta terpelihara dari segi moral.
Dia juga mengulangi penegasan parti itu bahawa kemenangan dalam PRU perlu diutamakan berbanding menamakan seseorang sebagai calon perdana menteri.
Untuk rekod Bersatu sudah menamakan presiden mereka, Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri bagi parti berkenaan dalam perhimpunan agung tahunan mereka pada 7 Sept lalu.
Menurut Mahfuz, alasan faktor “keselamatan” yang disebutkan Abdul Hadi semalam adalah cubaan PAS menutup perpecahan dalam PN yang kini semakin jelas kelihatan.
Katanya, PAS bukanlah takut calon mereka disabotaj, sebaliknya bimbang rahsia pertelingkahan parti itu dengan Bersatu terbongkar.

Dia yang pernah menjadi naib presiden PAS berkata, sebelum ini parti tersebut pernah mengemukakan nama calon perdana menteri – iaitu Tengku Razalegih Hamzah – dan tidak timbul pun isu keselamatan seperti disebut Abdul Hadi semalam.
“Jsuteru adalah jelas bukan calon mereka yang tak selamat, tetapi politik mereka sendiri yang sedang tenat.
“PAS kini umpama pemandu lori yang hilang arah. Katanya (PAS) ada ‘berlori-lori’ calon, tapi rupa-rupanya semua lori itu sedangrosak tepi jalan,” katanya.






