Permainan video ganas dan kandungan media sosial tertentu mungkin memainkan peranan dalam kes pelajar maut ditikam oleh rakan sekolahnya di sebuah sekolah pada Selasa, menurut polis Selangor.
NST melaporkan Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata penyiasat sedang meneliti platform dalam talian yang mungkin telah membentuk tingkah laku dan pemikiran suspek sebelum pembunuhan itu.
“Kita sebut sebelum ini bahawa suspek dipengaruhi oleh media sosial. Tetapi media sosial itu luas, jadi kita sedang mengenal pasti platform tertentu yang mempunyai pengaruh paling ketara terhadapnya.
“Permainan video mungkin salah satu daripadanya,” katanya dipetik sebagai berkata.
Tambah Shazeli, keputusan suspek memakai sarung tangan dipercayai sebahagian daripada persiapannya sebelum melakukan perbuatan itu.
“Polis sedang meneliti semua aspek termasuk motif dan kemungkinan pengaruh luar yang mungkin mencetuskan tindakan suspek,” katanya.
Menurut Shazeli, penyiasat juga menemui nota tulisan tangan, yang didakwa dikaitkan dengan suspek, merujuk istilah yang biasanya dikaitkan dengan permainan video dan budaya internet seperti Zero Day, ditafsirkan sebagai ‘hari serangan’ — dan “NPC (Non Playable Character).
“Kami masih mengumpul kenyataan komprehensif untuk membentuk penemuan konklusif dan memberikan syor kukuh kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Shazeli juga menegaskan bahawa kerjasama berterusan dengan pentadbir sekolah dan jabatan pendidikan negeri adalah inisiatif berterusan dan bukan semata-mata reaksi terhadap kejadian tragis itu.
Pada 14 Okt lepas, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun didakwa menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor, dengan laporan menyatakan cinta tidak berbalas antara aspek yang disiasat.
Shazeli bagaimanapun telah mengesahkan bahawa suspek dalam kes itu tidak meluahkan perasaannya terhadap mangsa.
Suspek kini direman sehingga 21 Okt ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, NST hari ini melaporkan Shazeli berkata polis Selangor juga akan bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman jika mana-mana pelajar yang menyaksikan kejadian itu memerlukan kaunseling tambahan.
Dia berkata suspek juga sedang menjalani kaunseling untuk prestasi akademiknya, bukan untuk bantuan psikologi, dan pihak sekolah tidak mengetahui masalah tingkah laku remaja itu.
“Pihak sekolah menyedari isu berkaitan pembelajaran tertentu yang melibatkan keupayaan pelajar, tetapi tidak ada masalah tingkah laku atau disiplin yang boleh meramalkan tragedi ini,” katanya.
Shazeli juga dilaporkan menolak untuk mengulas mengenai keadaan mental suspek.
“Tidak adil untuk saya mengulas keadaan mental suspek. Polis bukan pakar psikiatri, itu perlu dinilai oleh pakar yang berkelayakan.
“Secara fizikal, dia kelihatan baik-baik saja,” katanya sambil menambah suspek turut memberikan kerjasama dalam siasatan setakat ini.






