Malaysia Oversight

MP PN desak syarat pengambilan kakitangan sekolah diperketat

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 2 minute
MP PN desak syarat pengambilan kakitangan sekolah diperketat


Ahli Parlimen PN hari ini menggesa mempertingkat pengawasan lebih ketat ke atas semua kakitangan sekolah ketika kebimbangan terhadap kes-kes jenayah seksual dan keganasan di pusat pendidikan negara semakin meningkat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, misalnya mendakwa orang ramai menganggap mengambil sikap sambil lewa dalam menghadapi isu semasa sehingga menimbulkan kegusaran umum.

Justeru, dia menyeru mengambil tindakan segera dan drastik bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa diutamakan.

“Latihan khas untuk guru, warden dan pengawas mesti diperkasakan, manakala syarat pengambilan kakitangan perlu diperketatkan melalui saringan latar belakang dan penilaian psikologi,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Membaca kenyataan yang disokong oleh 17 ahli parlimen pembangkang lain, Saifuddin menambah, semua kakitangan sekolah – termasuk bukan guru – perlu memiliki sijil khas yang mengesahkan kesesuaian mereka untuk bekerja dengan pelajar.

“Kalau kerajaan perlu wujudkan sijil (khas) itu, perlu wujudkan, lakukanlah.

“Kita dah (pernah) ada kes (misalnya) melibatkan pengawal sekolah, kita tak mahu la berlaku lagi,” katanya.

Dia yang juga bekas timbalan menteri pendidikan tinggi berkata, ada beberapa negara maju sudah melaksanakan syarat sebegitu.

“Bagaimana cara kita nak lakukannya, secara detail kita boleh fikirkan,” katanya.

Saifuddin turut menggesa agar sebuah jawatankuasa keselamatan dan kesejahteraan pelajar ditubuhkan di setiap sekolah dengan disertai guru, ibu bapa, alumni, ketua masyarakat, agensi berkaitan, pertubuhan masyarakat sivil, dan polis bagi memantau keselamatan pelajar.

“Sebagai ahli parlimen, kami sedia menghulurkan kerjasama kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang lebih selamat untuk anak-anak kita,” katanya.

Pendidik sangat kecewa

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan KPM komited untuk terus memperkukuh dan meningkatkan aspek keselamatan di sekolah.

Usaha sedemikian, katanya di Dewan Rakyat, termasuk pembaharuan segera mekanisme sedia ada dan usaha intensif dan berterusan diambil oleh KPM.

Sementara itu Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor, mendakwa ada guru di kawasannya yang mendakwa warga pendidik kini “hilang semangat untuk mengajar”.

Kata Salamiah, guru terbabit kini sekadar berkhidmat untuk membantu para pelajar mendapat skor A dalam peperiksaan, manakala lebih daripada itu sudah dilarang, termasuk merotan.

“Ini suara hati jiwa seorang pendidik, mereka sangat kecewa

“Mereka (guru) sebutkan suasana hari ini pelajar-pelajar sudah malas belajar.

“Mereka (pelajar) ada handphone yang jadi penghibur, banyak content, sudah bosan belajar,” katanya pada sidang media sama.

Dia yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Pusat mendakwa, apabila guru tidak lagi mempunyai kuasa menegur di dalam kelas, ada ibu bapa yang “mengambil kesempatan”.

Pun begitu, tambah Salamiah, ibu bapa perlu faham bahawa apabila mereka sentiasa membela anak-anak apabila ditegur atau dimarah, pada guru tidak lagi akan mengambil berat keadaan pelajar terbabit.

Justeru dia mencadangkan agar KPM mengkaji semula dan meminda peraturan berkaitan disiplin guru.



Source link