PARLIMEN | Ahli Parlimen PN mempersoal keseimbangan pembangunan negara yang didakwa lebih memberi tumpuan kepada Pulau Pinang.
Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) membangkitkan hal itu dengan merujuk kepada peruntukan bagi pelaburan projek transit aliran ringan (LRT) kepada Pulau Pinang sebanyak RM16.8 bilion dan pada masa sama mengetepikan usaha bagi menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Sedangkan, dakwa Tuan Ibrahim, berdasarkan kajian pembinaan projek LRT di Pulau Pinang bukan satu keperluan mendesak.
“Kerajaan menghabiskan RM16.8. bilion untuk projek LRT Pulau Pinang.Saya bukan soal mahupun pertikai apa diberikan pihak kerajaan, tapi bandingkan, (peruntukan) RM16.8 bilion, sedangkan kajian dibuat LRT di Pinang tiada keperluan.
“Berbanding menyiapkan jalan Pantai Timur yang sekarang ini sampai di Terengganu saja, bila nak sampai ke Kelantan?
“Sepatutnya jumlah (dana) ini digunakan untuk menykaplan projek belum siap dan menjadi keutamaan kepada pihak rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 10 Okt lalu, kerajaan Pulau Pinang merakamkan penghargaan kepada Putrajaya susulan pelbagai projek dan inisiatif penting untuk negeri itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata menerusi senarai projek keutamaan negeri yang dibentangkan kepada Anwar pada sesi libat urus 18 Mac lalu di bawah projek strategik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), hampir separuh daripadanya telah dimasukkan dalam belanjawan kali ini.
Mengulas mengenai peruntukan kepada Sabah, Tuan Ibrahim menyambut baik jumlah yang diberikan namun pada masa sama menanggap ia dilakukan sebagai gula-gula pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Keseimbangan pembangunan sangat ketara, terlalu banyak fokus diberikan kepada Pulau Pinang, Sabah (pun) banyak kita ucap terima kasih, tak ada masalah. Mungkin kerana ada PRN (Sabah), rakyat dapat manfaat selepas PRN,” katanya lagi.






