Malaysia Oversight

Remaja dan sistem pendidikan: Krisis nilai dalam era digital

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 5 minute
Remaja dan sistem pendidikan: Krisis nilai dalam era digital


Fenomena keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kian membimbangkan. Dari kes buli, pergaduhan hingga kepada kejadian menikam rakan sekolah sendiri, semua ini bukan lagi berita luar biasa. Ia menggambarkan realiti pahit bahawa sistem pendidikan kita seolah-olah sedang retak dari dalam. 

Walaupun Malaysia telah lama menekankan aspek nilai, moral dan pendidikan sivik, persoalan besar yang muncul ialah — mengapa masih ramai remaja tersasar arah dan kehilangan empati terhadap sesama manusia?

Pendidikan dan pembentukan jiwa

Sekolah sepatutnya menjadi wadah membentuk manusia seimbang, cerdas akal, bersih hati dan teguh moral. Namun, realitinya, sistem pendidikan kita semakin terperangkap dalam budaya angka dan laporan. Tekanan terhadap pencapaian akademik yang terlalu tinggi menjadikan aspek sahsiah dan pembangunan emosi pelajar semakin terpinggir. Guru kini dibebani dengan pelbagai tugasan pentadbiran, pelaporan dalam talian, dan keperluan data prestasi yang menekan. Dalam banyak keadaan, guru terpaksa menjadi kerani sebelum menjadi pendidik, mengisi borang, melapor KPI dan menghadiri mesyuarat tanpa henti. Akibatnya, masa dan tenaga untuk menumpukan kepada pembangunan nilai, empati dan akhlak pelajar menjadi semakin berkurang.

Apabila sistem hanya menilai pelajar berdasarkan markah dan keputusan peperiksaan, maka manusia akhirnya diukur seperti mesin. Kita mungkin berjaya melahirkan pelajar yang bijak di atas kertas, tetapi gagal membentuk insan yang tahu berfikir dengan hati.

Kurikulum yang menumpukan terlalu banyak kepada pencapaian kognitif menyebabkan pelajar tidak dilatih mengurus emosi, menyelesaikan konflik, atau mengawal marah. Nilai-nilai seperti kasih sayang, sabar dan hormat sering dianggap remeh, sedangkan itulah tunjang pembinaan masyarakat berakhlak. Jika guru terus terbeban dengan sistem dan pentadbiran yang kaku, maka peranan sebenar mereka sebagai pendidik jiwa akan hilang perlahan-lahan. Pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menyentuh hati manusia. Sistem yang baik ialah sistem yang memberi ruang kepada guru untuk menjadi pembimbing, bukan sekadar pelaksana arahan.

Buli dan keganasan: Cerminan kegagalan sosial

Kes buli yang semakin parah mencerminkan kegagalan masyarakat membina empati dalam diri remaja. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, negara digemparkan dengan beberapa insiden tragis yang berlaku di institusi pendidikan. Antara yang paling menyayat hati ialah kejadian seorang pelajar sekolah menengah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama dipercayai akibat dibuli oleh rakan sebilik. Tidak lama kemudian, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan kes seorang pelajar menikam rakan sekelasnya di Johor hanya kerana ejekan kecil. 

Dua insiden ini bukan sekadar kisah sedih, tetapi gambaran jelas tentang kegagalan sistem nilai dalam kalangan generasi muda. Kedua-dua kes ini memperlihatkan bahawa krisis sahsiah dan emosi remaja bukan berpunca daripada keberanian luar biasa, tetapi daripada kekosongan kasih sayang, bimbingan dan kawalan diri. 

Apabila seseorang sanggup menyakiti rakan sebaya demi menunjukkan dominasi, ia menandakan berlakunya erosi nilai kemanusiaan yang seharusnya dipupuk sejak kecil.

Lebih membimbangkan, budaya ganas ini sering “dirayakan” di media sosial. Ada remaja yang tanpa rasa bersalah merakam dan memuat naik video pergaduhan untuk dijadikan tontonan umum, seolah-olah ia satu bentuk hiburan. 

Fenomena ini menandakan kegagalan sistem pendidikan, keluarga dan masyarakat dalam mengawal pengaruh digital yang semakin berleluasa. Nilai murni yang diajar di sekolah seakan tidak mampu menandingi gelombang budaya maya yang mengagungkan kekerasan dan populariti segera.

Pengaruh digital dan krisis emosi

Remaja hari ini membesar dalam ekosistem digital yang serba pantas. Mereka menilai diri melalui jumlah “likes” dan “followers”, bukan melalui nilai kemanusiaan. Media sosial mewujudkan budaya perbandingan yang berterusan — siapa lebih cantik, siapa lebih kaya, siapa lebih berpengaruh. Tekanan ini membawa kepada krisis emosi, kemurungan dan rasa rendah diri yang berpanjangan. 

Namun, pendidikan kita masih belum cukup pantas menyesuaikan diri dengan cabaran ini. Sekolah perlu memperkenalkan modul literasi digital dan emosi yang mendidik remaja menggunakan media secara sihat. Pembelajaran harus melatih mereka menilai maklumat, mengurus tekanan maya dan menghargai kehidupan sebenar di luar skrin.

Kajian Kementerian Kesihatan pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan ketara kes kemurungan dalam kalangan remaja sekolah menengah. Statistik ini memberi isyarat jelas bahawa pendidikan emosi bukan pilihan, tetapi keperluan mendesak dalam kurikulum abad ke-21.

Ibu bapa dan komuniti yang terpisah

Sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk nilai dan sahsiah anak-anak. Namun, realiti masa kini memperlihatkan ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mencari rezeki hingga komunikasi keluarga terabai. Anak-anak membesar tanpa bimbingan langsung dan hanya ditemani gajet dan hiburan. 

Nilai moral tidak lagi diturunkan melalui nasihat dan teladan, tetapi diserap secara rawak daripada media. Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2022 mendapati lebih 60 peratus remaja mengaku lebih selesa meluahkan perasaan di media sosial berbanding kepada ibu bapa. Ini menunjukkan jurang emosi yang semakin melebar. 

Tanpa komunikasi yang sihat di rumah, sistem pendidikan tidak akan mampu menampung kekosongan kasih sayang tersebut.Komuniti setempat pula tidak lagi berfungsi sebagai agen kawalan sosial. 

Dahulu, jiran dan masyarakat saling menegur dan membimbing. Kini, budaya individualistik menjadikan remaja kehilangan panduan sosial luar rumah.

Krisis identiti dan nilai baru

Remaja masa kini juga berdepan konflik identiti. Dalam dunia global yang mengagungkan kebebasan tanpa batas, nilai-nilai ketimuran semakin kabur. Mereka terperangkap antara tuntutan modeniti dan akar tradisi. Ada yang menganggap adab sebagai kolot, sedangkan ia adalah asas jati diri bangsa.

Sekiranya sistem pendidikan gagal menyeimbangkan nilai sejagat dengan akar budaya tempatan, generasi muda akan menjadi generasi “tergantung” atau tidak berpaksikan mana-mana nilai.Pendidikan perlu kembali kepada roh falsafah insan. Kurikulum bukan sahaja perlu memupuk kemahiran berfikir kritikal, tetapi juga kesedaran moral dan tanggungjawab sosial. Kita perlu membina remaja yang bukan sekadar tahu “apa yang betul”, tetapi mahu melakukan yang betul.

Mendidik dengan hati

Sudah tiba masanya sistem pendidikan nasional bergerak ke arah pembentukan insan yang holistik. Sekolah perlu menanam semula nilai kasih, hormat, dan tanggungjawab dalam setiap proses pembelajaran. Program mentor-mentee, bimbingan emosi, serta aktiviti luar bilik darjah perlu digiatkan semula bagi membina empati dan kepimpinan pelajar. Guru pula perlu diberikan latihan profesional dalam pengurusan psikologi remaja, bukan sekadar latihan akademik. 

Mereka perlu dilihat bukan hanya sebagai pengajar, tetapi pembimbing yang memahami dinamika emosi pelajar. Selain itu, kerjasama antara kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta agensi psikologi perlu digerakkan untuk mewujudkan ekosistem sokongan menyeluruh. Pendidikan harus menjiwai pendekatan “whole child development” dengan membina pelajar dari segi intelek, emosi, sosial dan spiritual secara seimbang.

Remaja bukan golongan yang bermasalah, tetapi cerminan kepada masyarakat dan sistem yang membentuk mereka. Setiap kes buli dan jenayah remaja adalah isyarat bahawa kita sedang kehilangan arah dalam pendidikan nilai. Masyarakat perlu kembali kepada prinsip asas iaitu mendidik seorang anak adalah tanggungjawab bersama. 

Pendidikan tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi juga di rumah, di jalanan, di alam maya, dan di hati setiap insan dewasa. Sekiranya kita gagal memperbaiki sistem pendidikan hari ini, maka generasi akan datang akan mewarisi bukan sekadar kelemahan ilmu, tetapi kepincangan jiwa. Sudah tiba masanya kita mendidik dengan hati, bukan hanya dengan silibus.


NURUL JAMILAH ROSLY adalah pembantu profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Kuliah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link