Malaysia Oversight

Polis tak siasat isu pemain bola, alasan ‘tiada unsur jenayah’

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 2 minute
Polis tak siasat isu pemain bola, alasan 'tiada unsur jenayah'


Polis tidak menyiasat dakwaan pemalsuan dokumen pemain bola warisan Malaysia atas dakwaan “tiada unsur jenayah berlaku”.

Pengadu Satees Muniandy yang juga setiausaha Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata dia dimaklumkan perkara itu melalui e-mel semalam.

“Adakah keputusan polis ini dibuat atas arahan sesiapa? Saya tidak tahu. 

“Namun, saya tahu bahawa menteri yang meluluskan kewarganegaraan tujuh individu itu ialah menteri dalam negeri yang juga bertanggungjawab terhadap Polis Diraja Malaysia,” katanya.

72b31b8a143d9bf3b325a27bbb8c9278
Satees Muniandy

Satees membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hampir seminggu lepas, susulan kebimbangan wujud pihak dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Belia dan Sukan serta FAM bersekongkol memalsukan dokumen.

Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu parlimen bahawa dia menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk mempertimbangkan tujuh pemain bola sepak itu supaya layak diberi kewarganegaraan.

Namun, Satees mempersoalkan dakwaan itu dan meragui sama ada pemain itu  benar-benar memenuhi syarat naturalisasi termasuk kemahiran berbahasa Melayu.

Keterangan pengadu tak diambil

Dalam kenyataan pagi ini, Satees juga berkata perkara itu menghairankan memandangkan “cara tergesa-gesa kes ini ditutup”. 

Malah, katanya, dalam kes ini, kes ditutup tanpa sebarang keterangan dari pengadu diambil.

“Tetapi laporan polis saya terus ditutup tanpa sebarang panggilan untuk rakaman percakapan. Adakah kes ini begitu remeh sehingga tidak wajar disiasat?” soalnya.

Satees menegaskan bahawa laporan polisnya berdasarkan hasil siasatan Fifa dan juga pengakuan JPN sendiri yang menyatakan bahawa kewarganegaraan tujuh pemain itu diluluskan berdasarkan dokumen yang mereka kemukakan. 

Namun, katanya, pihak polis tidak menunjukkan sebarang minat untuk menyiasat dan terus mengklasifikasikan kes ini sebagai tiada jenayah. 

“Siapa atau apa yang mendorong keputusan polis ini, saya tidak tahu. Tetapi saya faham bahawa undang-undang jenayah di negara kita hanya tegas terhadap rakyat marhaen,” katanya.

Dia juga mengingatkan bahawa desakan supaya perkara itu disiasat turut datang daripada anggota parlimen di Dewan Rakyat.

“Nampaknya kesalahan derhaka dan khianat kepada negara tidak lagi dianggap salah apabila mereka yang berkuasa sudah membuat keputusan itu,” keluhnya.

“Apalah daya saya sebagai rakyat biasa yang hanya ingin melihat mereka yang mengkhianati amanah negara dibawa ke muka pengadilan apabila penguat kuasa undang-undang sendiri enggan bertindak.

“Biar rakyat menjadi saksi dan hakim dalam kes ini.”

Pada 26 Sept, Fifa mendenda FAM dan tujuh pemain “warisan” serta menggantung mereka kerana didakwa memalsukan dokumen yang membuktikan pertalian darah dengan negara ini.

Fifa mendapati datuk dan nenek tujuh pemain tersebut bukan berasal dari Malaysia seperti yang didakwa oleh badan sukan tempatan.

Antara tujuh pemain yang digantung itu mempunyai profil amat memberangsangkan dengan bermain di liga tertinggi di Amerika Latin dan Eropah.

Pemain-pemain itu adalah: Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.



Source link