Pandang Pertama Siri vivo X300 – Peranti Mercu Yang Makin Padu
Nur Amzari
Siri vivo X300 sudah pun dilancarkan kepada umum untuk pasaran China. Boleh dikatakan yang siri vivo X ini adalah peranti mercu yang memberikan saingan yang sangat rapat dengan pesaingnya namun untuk siri X300 ini vivo tidak lagi meneruskan model Pro Mini seperti model sebelum ini. Kali ini hanya model X300 dan X300 Pro sahaja yang dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan yang agak menarik dari segi perkakasan dan juga perisian.

Rekaan Dan Skrin
Walaupun tiada model Pro Mini untuk kali ini namun vivo X300 menggunakan saiz yang lebih kecil berbanding model sebelum ini iaitu 6.31”. Rekaan tubuh kelihatan sama seperti model Pro Mini tahun lepas dengan konsep berkotak membuatkan genggaman dalam tangan terasa sangat sedap dengan bahan binaan aluminium serta kaca. Perkara yang menarik perhatian saya sendiri adalah pihak vivo berjaya mengecilkan saiz bonggol kamera pada X300 ini dengan agak ketara.

Untuk X300 Pro ia masih lagi mengekalkan saiz yang sama seperti dahulu iaitu 6.78” namun yang menarik adalah ia tidak lagi menggunakan rekaan yang melengkung dan berubah kepada rekaan yang berkotak. Berat untuk X300 Pro ini juga terasa lebih seimbang berbanding X200 Pro dahulu yang berat pada bahagian modul kamera. Kedua-dua model ini juga mempunyai ketahanan yang baik dengan sokongan IP68/69.

Bahagian skrin untuk kedua model X300 ini mempunyai spesifikasi yang sama selain saiznya sahaja. Ia menggunakan panel 8T LTPO yang boleh mencapai kadar segar semula serendah 1 Hz hingga 120 Hz. Tahap kecerahan boleh capai sehingga 4500nits dan boleh turun serendah 1nits selain menggunakan resolusi 1.5K. Bezel pada skrin ini juga sudah semakin nipis untuk memberikan pengalaman yang lebih immersif. Terdapat sokongan PWM Dimming 2160Hz dan pengesan cap jari jenis ultrasonic. Berdasarkan penggunaan awal, skrin pada siri vivo X300 ini sudah pun mencapai tahap mercu tanpa sebarang isu.

Perkakasan Dan Perisian
Siri vivo X300 ini dikuasakan oleh cip terbaru Mediatek iaitu Dimension 9500 dan digabungkan dengan cip yang dibangunkan sendiri oleh vivo iaitu V3+ untuk membantu dari segi kemampuan fotografi. Setakat penggunaan awal ini cip ini terasa sangat-sangat pantas dan dapat memberikan prestasi mercu yang baik. Cip ini dikatakan mempunyai kuasa yang sangat tinggi sehingga mampu mencapai sehingga 4.1 juta untuk skor pada penanda aras AnTuTU. Untuk percubaan lebih lanjut nantikan ulasan selebihnya dalam masa akan datang.

Perisian yang digunakan pada siri vivo X300 ini adalah yang terbaru dari vivo iaitu OriginOS 6 dengan rekabentuk baru serta animasi yang sangat menarik. Terdapat beberapa ciri menarik seperti tema Flip Cards, jam yang boleh diubah pada kunci skrin dan Origin Island yang lebih pintar untuk memudahkan pengguna membuat satu kerja. Gabungan cip Dimensity 9500 ini bersama OriginOS 6 memberikan pengalaman penggunaan yang sangat baik.

Kamera
Sudah semestinya tumpuan yang penuh diberikan pada bahagian camera pada siri vivo X300 ini. Pada X300 Pro ia menggunakan lensa utama 50MP ZEISS Gimbal-Grade dengan saiz sensor 1/1.28” Sony LYT-828. Bukaan apertur juga agak luas pada f/1.57. Lensa telefoto pula adalah 200MP ZEISS APO Telefoto yang menggunakan sensor HPB yang dibangunkan melalui kerjasama vivo dan Samsung. Lensa ultra-lebar pula adalah 50MP ZEISS sebagai pelengkap.

X300 pula menggunakan lensa utama 200MP ZEISS dengan sensor HPB bersaiz 1/1.4” bersama bukaan apertur f/1.68. Lensa telefotonya menggunakan 50MP ZEISS APO Telefoto yang menggunakan sensor Sony LYT-602. Lensa 50MP ZEISS Ultra-lebar dan juga swafoto sama seperti yang ada di X300 Pro. Salutan T* ZEISS juga masih lagi dikekalkan untuk mengatasi masalah flare yang keterlaluan.

Pihak vivo turut mementingkan prestasi video pada X300 Pro dimana ia mampu merakam sehingga 4K120FPS Dolby Vision serta rakaman dalam mod 10-Bit Log pada resolusi yang sama. X300 juga mampu merakam dalam resolusi yang sama untuk video dalam mod Pro. Kedua model juga mempunyai keupayaan merakam Dual-View Stage Video untuk merakam detik indah tanpa terlepas reaksi sendiri.
Bateri Dan Pengecasan
Kapasiti bateri yang dimuatkan pada X300 adalah sebesar 6040mAh BlueVolt yang agak mengejutkan dalam tubuh yang kecil ini malah kapasiti ini lebih besar berbanding model Pro Mini dahulu. Untuk X300 Pro pula adalah sebesar 6510mAh juga lebih besar berbanding X200 Pro dahulu dalam saiz yang sama. Dari segi pengecasan, kedua model mampu mengecas sehingga 90W FlashCharge dan mempunyai pengecasan nirwayar 40W FlashCharge. Sayang sekali tiada sokongan Qi2 pada siri X300 kali ini.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan untuk pandang pertama ini, siri vivo X300 ini boleh bersaing baik dengan peranti-peranti mercu yang akan datang terutamanya pada kemampuan kameranya yang menjadi semakin baik dari model sebelum ini. Tambahan pula ia sudah menggunakan OriginOS 6 terbaru yang lebih intuitif dengan pelbagai ciri menarik untuk pengguna. Nantikan kedatangan siri vivo X300 ini ke pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat.

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






