Veteran Umno menggesa kepimpinan parti mengumumkan calon Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal bagi mengelak sabotaj dalaman serta memberi ruang kepada bakal calon turun padang membina keyakinan pengundi.
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, dalam kenyataan medianya menyambut baik langkah presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang memuktamadkan nama Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki sebagai calon parlimen Grik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Asyraf Wajdi kalah ditangan calon Perikatan Nasional, Fathul Huzir Ayob dengan majoriti 1,377 undi.
Dia mendapat 13,728 undi berbanding Huzir yang meraih 15,105 undi manakala calon PH, Tarmizi Mohd Jam memperolehi 5,799 undi,
Mengulas lanjut Mustapha mengingatkan agar pendekatan sama dilaksanakan di semua kawasan lain tanpa kelewatan.
“Veteran berharap ketetapan yang sama dapat dilakukan bagi kawasan parlimen yang lain lebih awal.
“Langkah itu bertujuan untuk mendedahkan bakal calon kepada pengundi dan memberi mereka masa yang cukup untuk turun padang bekerja. Selain itu ia dapat mengurangkan kesan sabotaj dalaman dari kumpulan yang tidak bersetuju dengan bakal calon itu.” katanya.

Menurut Mustapha, dalam keadaan biasa calon yang akan bertanding diumumkan namanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon. Namun ini berisiko tinggi kerana tempoh kempen dua minggu terpaksa dihabiskan dengan pujuk memujuk kepada mereka yang tidak dinamakan.
Dia turut memberi amaran bahawa parti tidak boleh terus terperangkap dalam budaya politik warisan yang menjadikan Umno seolah-olah milik keluarga atau kelompok tertentu.
“Veteran berharap kepimpinan sedia ada disemua peringkat dapat menerima kenyataan bahawa pengundi mahukan perubahan. Mereka mahu Umno terus relevan.
“Mereka tidak mahu Umno menjadi harta pusaka yang hanya boleh difaraid dan diwarisi dalam keluarga,” katanya.
Bekas ahli parlimen dari Kelantan yang berpengalaman luas itu turut mengingatkan bahawa Umno ialah milik 3.6 juta ahlinya, dan bukan milik segelintir pemimpin atau waris politik.

Justeru, katanya, kepimpinan di semua peringkatperlu berlapang dada menerima hakikat bahawa rakyat menuntut pembaharuan sebenar.
Dalam nada sama, Veteran Umno mencadangkan agar lebih ramai agamawan dan profesional yang memenuhi kriteria “Wali” – watak, amanah, loyal dan integriti – diketengahkan sebagai calon.
Langkah ini, katanya, penting untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Umno sebagai parti progresif dan dinamik, bukan sekadar bergantung kepada nostalgia masa lalu.






