Dua ahli parlimen bebas hari ini menasihatkan Wan Saiful Wan Jan serta Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengikut jejak langkah mereka selepas kedua-duanya dikenakan hukuman oleh Bersatu semalam.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata walaupun Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal mempunyai masa 14 hari untuk merayu kepada Bersatu, mereka sepatutnya tidak berbuat demikian.
Alasannya, Mohd Azizi berkata, kedua-dua ahli parlimen terbabit perlu menghargai maruah pengundi yang telah memberi mandat kepada mereka dalam PRU yang lalu.
“Inilah masanya untuk mereka menyokong kerajaan Madani dan dedahkan segala muslihat, kepincangan serta konflik kepimpinan PN yang semakin membusung sejak kebelakangan ini.
“Inilah masa terbaik untuk Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal berada di platform kerajaan bagi membolehkan mereka fokus kepada kebajikan pengundi di kawasan masing-masing,” katanya hari ini.
Mohd Azizi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan diambil Bersatu terhadap kedua-dua pemimpin pembangkang berkenaan.
Semalam Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan bahawa Wan Saiful dipecat daripada parti tersebut. Turut dikenakan hukuman sama ialah empat ketua bahagian Bersatu iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur), serta Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Sementara itu Wan Ahmad Fayhsal pula digantung keahliannya selama satu penggal.
Keputusan itu dibuat susulan siasatan dalaman dilakukan lembaga disiplin berkaitan isu akuan berkanun (SD) yang didakwa sebagai antara usaha mendesak pengunduran Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebelum ini.
Wan Saiful adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan pernah memegang jawatan ketua parti itu, manakala Wan Fayhsal juga ahli MPT dan bekas ketua Pemuda Bersatu (Armada).
Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, turut senada dengan Mohd Azizi.
Kata Suhaili, Wan Saiful serta Wan Ahmad Fayhsal wajar memikirkan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing selepas dikenakan tindakan keras oleh Bersatu semalam.
“Saya nasihatkan mereka sokong kerajaan Madani demi rakyat di kawasan mereka,” katanya ringkas.
Untuk rekod, Mohd Azizi dan Suhaili adalah antara enam ahli parlimen Bersatu yang mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di sebalik status mereka sebagai pembangkang.
Empat lagi ahli parlimen yang berbuat demikian ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).






