JASIN: Cemburu dipercayai menjadi punca tragedi dua lelaki warga Bangladesh ditemukan maut di sebuah rumah sewa di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, si mati berusia 42 tahun ditemukan terbaring berlumuran darah di bahagian dapur manakala rakan serumahnya berumur 31 tahun pula tergantung pada kipas siling.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa berusia 42 tahun itu mempunyai 21 kesan tikaman pada badan, selain kecederaan parah di kepala dan dada.
“Polis turut menemukan dua bilah pisau dan sebilah parang di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bekerja sebagai buruh binaan di kawasan berhampiran dan tinggal bersama seorang lagi rakan senegara yang tiada di rumah ketika kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.
Dzulkhairi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi membabitkan seorang wanita warga Indonesia iaitu isteri kepada mangsa yang ditemui tergantung.
“Wanita berkenaan difahamkan telah meninggalkan rumah itu bersama bayi mereka berusia tiga bulan kira-kira dua minggu lalu.
“Jiran berhampiran turut memaklumkan mereka ada mendengar bunyi bising dari arah rumah tersebut sebelum kejadian disedari,” katanya.
Dzulkhairi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Norehan Omar di talian 06-5562222. – UTUSAN
MAYAT mangsa diusung anggota polis dalam kejadian bunuh di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal, Melaka. – UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON





