Pemuda PKR (AMK) memperlekeh gabungan baru pembangkang Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) pimpinan Muhyiddin Yassin yang melibatkan 11 parti.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin (gambar bawah) menyifatkan IPR hanya sekadar “retorik politik bagi mengalih perhatian rakyat daripada kemelut dalaman Bersatu dan ketegangan dalam PN.”
“Hakikatnya, Muhyiddin kini berdepan tekanan kepimpinan dalam partinya sendiri serta kehilangan kepercayaan rakan sekutu dalam PN.
“Maka, gabungan baharu ini bukan tanda kekuatan tetapi percubaan menutup retak yang semakin melebar,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Danish berkata dakwaan IPR melibatkan 11 parti di luar blok kerajaan hanyalah satu bentuk kerjasama longgar tanpa hala tuju jelas.
“Rakyat tidak lagi tertarik dengan retorik gabungan demi gabungan.
“Mereka menilai berdasarkan rekod dan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini jelas meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi serta kestabilan politik negara,” ujarnya.
Bersatu terus bergolak
Bersatu dikatakan sedang berdepan krisis dalaman yang kian meruncing. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, laporan media menunjukkan wujud perpecahan kepimpinan, termasuk gerakan dalam kalangan akar umbi dan pemimpin negeri yang mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden parti.
Pada perhimpunan agung Bersatu baru-baru ini, Muhyiddin sendiri mengakui kewujudan “elemen dalaman” yang cuba menggugat kestabilan parti dengan mengumpul tandatangan untuk menentangnya.
Beberapa pemimpin kanan turut dilaporkan kecewa dengan cara parti ditadbir manakala tokoh veteran memberi amaran bahawa “penyakit dalaman parti” jika tidak diubat akan menjadi semakin kronik dan menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat.
Pengumuman penubuhan IPR oleh Muhyiddin dikatakan mungkin bertujuan menunjukkan pengaruh di luar PN, terutama selepas dia didakwa kehilangan kepercayaan dalam kalangan ahli sendiri.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dipecat daripada Bersatu manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahliannya selama satu penggal.
Kedua-dua mereka antara enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar peraturan parti.
Empat lagi yang dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Danish turut menegaskan bahawa rakyat tidak harus terpedaya dengan percubaan menggunakan jenama untuk menghidupkan semula pengaruh politik lama.

Katanya, apa yang rakyat perlukan kini bukan lagi gabungan , tetapi dasar yang benar-benar membantu golongan marhaen, meningkatkan taraf hidup dan menstabilkan ekonomi.
“Kerajaan Madani hari ini sedang menumpukan kepada reformasi sebenar, pengukuhan ekonomi serta perlindungan sosial yang lebih adil — bukan mencipta pakatan baru demi menyelamatkan karier politik lama,” katanya.
“Saya mengajak rakyat agar tidak “tertipu baja bunga”, yakni terpengaruh dengan bungkusan manis tetapi kandungannya kosong,” sindir Danish.






