Malaysia Oversight

LFL tuduh Singapura sekat peguam bantu banduan hukuman mati

By MkiniBM in October 15, 2025 – Reading time 2 minute
LFL tuduh Singapura sekat peguam bantu banduan hukuman mati


Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek menuduh Singapura mewujudkan halangan undang-undang dan prosedur bagi menyukarkan peguam membantu banduan hukuman mati di republik itu.

Menurutnya, peguam di Singapura diugut atau ditakut-takutkan daripada mewakili atau memberi khidmat nasihat kepada mereka yang bakal dihukum mati, sekali gus menyukarkan banduan berkenaan mendapatkan bantuan guaman.

“Saya dengar daripada rakan-rakan di sana bahawa Singapura kini semakin agresif — menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada dan menggubal undang-undang baru untuk menghalang permohonan atau sebarang bentuk bantuan, sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya malam tadi.

Dia berkata demikian pada forum bertajuk Cross-Border Defence for Persons on Death Row in the Asia Pacific anjuran Anti-Death Penalty Asia Network, LFL, Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights serta Universiti Monash.

Acara itu diadakan bersempena peringatan Hari Dunia Menentang Hukuman Mati pada 10 Oktober lalu.

Perbincangan itu diadakan selepas pelaksanaan hukuman mati ke atas warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman pada 8 Oktober di Singapura atas kesalahan menyeludup dadah ke republik berkenaan.

Pada forum sama, peguam Australia, Lex Lasry menggambarkan Singapura sebagai begitu “bersemangat” terhadap pelaksanaan hukuman mati.

“Ia benar-benar grotesque (tidak berperikemanusiaan),” katanya.

Panel turut membincangkan betapa jarangnya presiden Singapura memberikan pengampunan kepada banduan hukuman mati.

“Dalam kebanyakan sistem, ramai yang mendapat pengampunan.

Malangnya di Singapura, hampir tiada,” kata peguam United Kingdom, Edward Fitzgerald.

Rekod menunjukkan pengampunan presiden hanya diberikan sebanyak tujuh kali sejak 1965.

Kedua-dua Lasry dan Fitzgerald turut berkongsi kesukaran mereka dalam usaha mewakili banduan hukuman mati di Singapura.

“Mahkamah Agung Singapura dan kerajaan republik itu, khususnya, tidak berminat membenarkan peguam kanan luar negara hadir ke mahkamah untuk menyatakan apa yang salah dalam sistem mereka, terutama tentang hukuman mati,” kata Lasry.

Dia percaya peguam tempatan kurang cenderung untuk berhujah secara lantang mengenai isu itu.

Berdasarkan apa yang didengarnya mengenai pelaksanaan hukuman mati terkini di Singapura, Lasry berkata tidak banyak yang berubah sejak anak guamnya warga Australia Van Nguyen, dihukum mati di republik itu pada Disember 2005.

Dia turut menyentuh populariti hukuman mati dalam kalangan rakyat Singapura, dengan kira-kira 70 peratus warganya menyokong pelaksanaan hukuman itu.

“Jika anda parti politik yang berkuasa, kenapa tidak mendakapnya?

“Perjuangan kami bukanlah satu perjuangan popular di Singapura dan itulah cabaran yang perlu kami hadapi,” ujarnya.

Laporan Channel News Asia tahun lalu mendapati tinjauan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura menunjukkan 77.4 peratus penduduk bersetuju atau sangat bersetuju mengekalkan hukuman mati bagi kesalahan berat seperti pembunuhan dan pengedaran dadah dalam jumlah besar.

Selain itu, Lasry mencadangkan agar sebuah persidangan antarabangsa mengenai hukuman mati diadakan di Singapura.

“Dan kita harus menjemput kerajaan Singapura hadir untuk mempertahankan hukuman mati serta sifat mandatori pelaksanaannya.

“Saya sedia ke Singapura dan menyertainya,” katanya.

Katanya, pendedahan awam terhadap hujah yang menyokong hukuman mati akan menjadi sesuatu yang amat berguna.

[Baca berita asal]



Source link