Malaysia Oversight

Wan Saiful tak perlu kosongkan kerusi, dia bukan lompat parti

By MkiniBM in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
Wan Saiful tak perlu kosongkan kerusi, dia bukan lompat parti


Ketua Bersatu Pahang, Abdul Khalib Abdullah menegaskan tiada keperluan untuk Wan Saiful Wan Jan mengosongkan kerusi parlimen Tasek Gelugor yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Abdul Khalib berkata Wan Saiful dipecat Lembaga Disiplin parti dan dia bukannya ‘melompat’ atau keluar daripada Bersatu.

“Wan Saiful tidak perlu kosongkan kerusi, dia bukan lompat parti, tapi dipecat,” kata Ahli Parlimen Rompin itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdul Khalib mengulas demikian ketika ditanya berkaitan desakan Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal yang mahu Wan Saiful mengosongkan kerusi Tasek Gelugor yang diwakilinya ketika ini.

Tindakan itu, menurut Muhammad Zakwan, adalah perlu bagi membolehkan pengundi dalam kawasan Tasek Gelugor memperbaharui mandat melalui pilihan raya kecil.

Muhammad Zakwan mendakwa pemecatan Wan Saiful adalah isyarat jelas bahawa kepimpinan tertinggi parti sendiri sudah hilang keyakinan terhadap integriti dan kelayakannya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Awal hari ini, Lembaga Disiplin Bersatu menerusi satu kenyataan mengumumkan pemecatan Wan Saiful dan empat lagi ketua bahagian parti berkenaan.

Mereka adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Ahli parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung selama satu penggal.

Keputusan itu dibuat susulan siasatan dalaman dilakukan Lembaga Siasatan parti berkaitan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Wan Saiful adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan parti itu.



Source link