Malaysia Oversight

Menteri Besar Selangor ucap takziah keluarga pelajar perempuan maut ditikam

By TheSun in October 14, 2025 – Reading time 1 minute
Menteri Besar Selangor ucap takziah keluarga pelajar perempuan maut ditikam


SHAH ALAM: Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan tingkatan empat yang ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Beliau berkata sebagai seorang bapa yang turut mempunyai anak perempuan, beliau tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa dalam menghadapi insiden mengejut itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada mereka,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amirudin berkata negeri akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan dan komuniti setempat supaya tahap keselamatan di sekolah di seluruh dipertingkatkan dengan segera.

Beliau berkata perkara itu akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri, dan beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita,“ katanya.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata seorang pelajar perempuan tingkatan empat disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pagi tadi.

Khalid berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah.

Suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah ditahan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tikam itu. – Bernama



Source link