Sayap Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang hari ini Wan Saiful Wan Jan agar meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor berikutan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata pemecatan Wan Saiful oleh Lembaga Disiplin Bersatu itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa kepimpinan tertinggi parti sendiri sudah hilang keyakinan terhadap integriti dan kelayakannya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Seseorang yang dipecat oleh partinya sendiri atas isu disiplin dan kredibiliti tidak wajar lagi memegang jawatan sebagai ahli parlimen, apatah lagi bercakap atas nama rakyat.
“Memburukkan keadaan, Wan Saiful masih berdepan dengan kes rasuah berkaitan skandal Jana Wibawa yang sedang disiasat dan dibicarakan di mahkamah. Keadaan ini dikatakan telah mencalarkan maruah institusi Parlimen dan menjejaskan imej kawasan Tasek Gelugor di mata orang ramai.
“Tindakan paling bermaruah untuk dia adalah dengan mengosongkan kerusi Parlimen Tasek Gelugor serta membuka ruang kepada pilihan raya kecil. Ini bagi membolehkan rakyat memperbaharui mandat mereka secara demokratik dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan Wan Saiful, serta empat ketua bahagian parti, dan menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk satu penggal atas dakwaan melanggar perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan.
Walaupun lembaga itu tidak menjelaskan secara terperinci jenis pelanggaran yang dilakukan, difahamkan tindakan terhadap mereka berkaitan dengan usaha terbaru untuk menekan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin supaya menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.
Bercakap kepada media di Parlimen hari ini, Wan Saiful secara sinis mempersoalkan tindakan pantas lembaga disiplin yang menghantar keputusan pemecatan mereka melalui WhatsApp sekitar jam 10 malam tadi.
“Perkhidmatan yang begitu efisien — saya puji kecekapan lembaga ini, sanggup bekerja hingga lewat malam,” katanya dengan nada sindiran.
“Aduan terhadap saya difailkan pada 18 September, saya terima notis pertama pada 21 September, dan dipanggil untuk sesi pendengaran pada 25 September. Saya ucap tahniah dan sangat bangga dengan kecekapan parti menjalankan kerja,” katanya.
Wan Saiful berkata dia dan Wan Fayhsal akan meneliti keputusan tersebut sebelum menentukan langkah seterusnya, termasuk sama ada akan membuat rayuan atau tidak.
“Kami akan kekal teguh memperjuangkan perjuangan Bersatu kerana kami membina parti ini bersama ahli akar umbi dan pemimpin bahagian yang telah banyak berkorban memperkukuh parti,” katanya.






