Malaysia Oversight

Ahli Parlimen Indonesia terima kenaikan elaun rehat RM178,545

By Utusan in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
Ahli Parlimen Indonesia terima kenaikan elaun rehat RM178,545


JAKARTA: Indonesia hampir menggandakan jumlah elaun rehat untuk ahli Parlimennya, hanya beberapa minggu selepas membatalkan beberapa faedah lain bagi meredakan kemarahan rakyat susulan siri tunjuk perasaan besar-besaran, menurut seorang pegawai pada Isnin.

Menurut Timbalan Speaker Dewan, Sufmi Dasco Ahmad, setiap ahli Parlimen kini akan menerima 700 juta rupiah (RM178,545) bagi setiap tempoh rehat, meningkat daripada 400 juta rupiah (RM102,025) sebelum ini. Seramai 580 ahli parlimen Indonesia menikmati kira-kira lima tempoh rehat setahun.

“Kenaikan elaun rehat untuk ahli parlimen yang diberikan bagi membiayai tugasan mereka di kawasan masing-masing semasa Parlimen tidak bersidang berkuat kuasa pada 3 Oktober, bertepatan dengan permulaan tempoh rehat terkini,” katanya kepada Reuters.

Dasco menjelaskan kenaikan itu telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Mei lalu dan diperuntukkan bagi lawatan serta aktiviti di kawasan pilihan raya masing-masing.

Pada Ogos lalu, ribuan pelajar, kumpulan hak asasi manusia dan orang awam turun ke jalan membantah keutamaan perbelanjaan , termasuk cadangan kenaikan gaji dan elaun ahli parlimen. Demonstrasi itu bertukar ganas selepas seorang penunggang motosikal penghantar makanan ketika operasi polis dijalankan.

Keganasan yang merebak ke 32 daripada 38 wilayah di Indonesia itu mengorbankan 10 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 5,000 tangkapan, menjadikannya rusuhan paling berdarah di negara itu dalam tempoh lebih dua dekad.

Tunjuk perasaan itu tercetus akibat kemarahan terhadap pelbagai faedah mewah yang diterima ahli politik, termasuk elaun perumahan dan elaun tambahan lain berjumlah sekitar 100 juta rupiah (RM25,498) sebulan.

Selepas gelombang bantahan itu, beberapa elaun telah dipotong, menjadikan jumlah keseluruhan hanya 65.5 juta rupiah (RM16,702) sebulan.

Walaupun Indonesia merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan ahli Kumpulan 20 (G20), Bank Dunia melaporkan puluhan juta rakyatnya masih hidup dalam kemiskinan.

Dasco mempertahankan kenaikan elaun tersebut, dengan alasan jumlah lama berdasarkan tempoh 2019–2024 dan tidak mengambil kira peningkatan harga barang keperluan serta kos pengangkutan.

“Ini bukan kenaikan, tetapi dasar yang diputuskan oleh sekretariat Dewan selepas menilai pelbagai aspek,” katanya sambil menegaskan bahawa angka itu bukan dicadangkan oleh ahli Dewan, sebaliknya oleh pihak sekretariat. -AGENSI





Source link