Bersempena dengan pelancaran siri peranti Realme GT 8 dan GT 8 Pro di Beijing, China pada hari ini, Realme dan Ricoh Imaging akhirnya telah mengumumkan kerjasama rasmi diantara kedua-dua syarikat tersebut untuk menguasakan kamera peranti Realme GT 8 Pro dengan teknologi pengimejan yang diperlihatkan pada siri kamera Ricoh GR.
Kerjasama ini dibangunkan selama empat tahun dan dianggap antara yang paling menyeluruh dalam pengimejan mudah alih terutama fotografi jalanan. Menurut Naib Presiden Realme, Chase Xu, ia tercetus daripada keinginan pengguna muda masa kini yang mahukan imej lebih semula jadi. Mereka juga lebih suka menampilkan gaya unik sendiri bukannya menghasilkan gambar yang kelihatan sama seperti orang lain.

Menurut Kazunobu Saiki, Pengurus Besar RICOH IMAGING, kedua-dua jenama ini menyasarkan pengguna muda yang kreatif serta berhasrat membawa budaya fotografi jalanan ke tahap lebih baik.
Kamera utama GT 8 Pro hadir dengan kumpulan lensa lutsinar serba baharu yang dibangunkan bersama-sama RICOH IMAGING. Lensa telefon pintar ini mengikuti piawaian optik siri kamera RICOH GR dan mempunyai prestasi anti-silau yang baik, kualiti gambar yang cantik pada resolusi tinggi dan herotan rendah. Ini memastikan setiap tangkapan gambar yang dibuat dengan kamera Realme GT 8 Pro adalah jelas dan tulen.



Antaramuka kamera Realme GT 8 Pro juga hadir dengan rekaan yang menyerupai apa yang diperlihatkan pada sebuah kamera Ricoh GR. Satu leretan pada antaramuka kamera utama membuka menu yang menyerupai apa yang diperlihatkan pada kamera tersebut, dan memberi pengguna akses kepada tetapan-tetapan kamera yang diperlukan untuk mengambil gambar yang dimahukan dengan cepat dan mudah.
Kerjasama dengan RICOH IMAGING tidak berhenti di situ sahaja. Realme GT 8 Pro turut memperlihatkan beberapa fungsi lain seperti Snap Mode yang membolehkan pengguna menetapkan jarak fokus
dengan tepat dan cepat, termasuklah pembingkaian pada nilai fokus 28mm dan 40mm yang sering digunakan untuk fotografi jalanan.


Jika anda mahu pengalaman menyusun bingkai seperti melihat melalui pemidang tilik fizikal, Viewfinder Mode membolehkan anda mengambil gambar-gambar tanpa kesibukan tetapan antaramuka pada skrin anda.
Kamera Realme GT 8 Pro juga hadir dengan lima penuras klasik RICOH GR eksklusif — Standard, Positive Film, Negative Film, Monotone dan B&W High Contrast — dihasilkan daripada beratus-ratus senario pencahayaan dan ujian warna, menyepadukan kepakaran pengimejan hampir 30 tahun RICOH dalam satu peranti.

Penggunaan tera air dalam gambar-gambar yang diambil juga adalah sesuatu yang biasa, dan Realme GT 8 Pro juga tampil dengan tera air Ricoh GR untuk perkongsian butiran gambar yang diambil, dan juga folder khusus untuk pengguna menyimpan gambar-gambar ini didalam peranti mereka.

Melengkapkan pengalaman menggunakan sebuah kamera Ricoh GR pada peranti Realme GT 8 Pro ini ialah bunyi klik pengatup yang sama seperti sebuah RICOH GR IV.
Butiran lanjut mengenai Realme GT 8 Pro akan diperlihatkan pada bulan ini. Spesifikasi kamera juga belum disahkan lagi, tetapi terdapat sejumlah butiran mengenainya yang tertiris baru-baru ini, termasuklah penggunaan sensor kamera 200MP pada kamera utama.






