Malaysia Oversight

PKR Tebrau kecam jualan ayam, kambing, ikan di perkarangan kuil

By MkiniBM in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
PKR Tebrau kecam jualan ayam, kambing, ikan di perkarangan kuil


Cabang Tebrau mengecam program Jualan Kasih Johor anjuran negeri yang menjual daging ayam dan kambing serta ikan di perkarangan Sri Maha Muniswarar Aalayam Devasthanam di Desa Cemerlang, Ulu Tiram, baru-baru ini.

Ketuanya, Prakas Maniam berkata membenarkan penjualan daging dan ikan di kawasan kuil berkenaan, menimbulkan kebimbangan dan reaksi emosi yang mendalam dalam kalangan masyarakat .

“Walaupun inisiatif Jualan Kasih Johor mungkin dilancarkan dengan niat murni menyokong komuniti setempat, kekurangan garis panduan pelaksanaan yang betul mewakili satu lambungan keputusan yang serius.

“Membenarkan penjualan barangan yang dianggap tidak sesuai dalam amalan agama , terutamanya daging dan ikan, di dalam atau perkarangan kawasan kuil, jelas melanggar kedua-dua norma agama dan amanah awam,” katanya kepada Malaysiakini.

Prakas yang juga pengarah strategik Johor menyeru semua jawatankuasa kuil, penganjur dan pihak berkuasa berkaitan melaksanakan langkah berjaga-jaga, perundingan dan kesedaran budaya ketika merancang program awam, terutamanya melibatkan ruang keagamaan.

“Saling menghormati, memahami dan bertanggungjawab adalah penting untuk mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk dan pelbagai agama kita.

“Kami menyeru semua pihak bertenang, mengutamakan dialog, dan kepimpinan yang mengutamakan nilai inklusiviti serta saling memahami bagi mengelakkan insiden serupa pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video yang menunjukkan Jualan Kasih Johor pada 12 Okt di perkarangan kuil tersebut membenarkan penjualan daging kambing dan ikan. Ramai netizen khususnya beragama mengecam penjualan di pekarangan kuil sebagai mencalar perasaan agama.

Malaysiakini telah menghubungi exco negeri Johor K Raven Kumar untuk mendapatkan ulasan.

Pihak kuil mohon maaf

Dalam perkembangan terbaru, pihak pengurusan kuil tampil memohon maaf.

“Program tersebut diadakan tanpa pengetahuan dan kebenaran pihak pengurusan kuil, di mana pelbagai jenis barangan termasuk ikan, ayam, kambing dan barangan daging lain telah dijual di dalam kawasan kuil.

“Pihak pengurusan kuil ingin menegaskan bahawa aktiviti jualan sedemikian tidak sepatutnya diadakan dalam kawasan rumah ibadat, dan ia telah mencetuskan salah faham serta ketidakpuasan hati dalam kalangan para penganut.

“Pihak pengurusan juga memohon maaf secara rasmi atas kejadian ini dan mengakui kekhilafan serta kelemahan dalam kawalan dan pemantauan. Kami berasa amat kesal di atas insiden tersebut dan berjanji akan memastikan kejadian sebegini tidak akan berulang pada masa hadapan,” kata pengerusi kuil Sundaram Selvanathan.

Katanya, pihak kuil juga akan melaksanakan upacara keagamaan dan penyucian khas (pooja khas) bagi menebus kesilapan yang telah berlaku dan untuk memulihkan kesucian kawasan kuil.



Source link