PARLIMEN | Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Keamanan Gaza di Mesir semalam selepas Putrajaya memutuskan untuk memberi sokongan bersyarat kepada pelan damai dibawa Presiden AS, Donald Trump.
Menjelaskan perkara itu pagi ini, perdana menteri berkata, sidang kemuncak antarabangsa di Sharm el-Sheikh itu adalah anjuran AS, justeru hanya negara yang menyokong penuh pelan 20 perkara Trump diajak menyertainya.
“Malaysia tidak termasuk (dalam senarai jemputan) kerana kita memberikan sokongan bersyarat.
“Antara syarat yang kita tetapkan (oleh Malaysia) termasuklah mesti bawa balik rakyat Palestin yang diusir keluar sebelum ini, dan beberapa syarat terkait hak Palestin untuk wujud sebagai sebuah negara.
“Syarat-syarat ini tidak termasuk dalam 20 perkara (yang ditetapkan oleh Trump),” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pagi ini.
Tambah Anwar, Putrajaya juga menetapkan beberapa syarat lain termasuk terkait kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis serta tindakan penjajahan ke atas Tebing Barat.
Perdana menteri menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Shahidan Kassim (PN – Arau) berhubung isu Palestin.
Semalam, Trump tiba di Sharm el-Sheikh untuk menyertai beberapa pemimpin dunia di sidang kemuncak tersebut serta menandatangani perjanjian pelan damai Gaza.
Sidang antarabangsa itu menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah. Ia didakwa dilaksanakan sebagi mencari perdamaian bersepadu di Gaza selepas wilayah terbabit mengalami perang sejak dua tahun lalu.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dimeterai minggu lalu turut merangkumi pertukaran pembebasan tebusan yang menjadi antara agenda utama sidang kemuncak berkenaan.






