Kerajaan Naikkan Kuota BUDI95 Kepada 600 Liter Sebulan Untuk Pemandu Seru-Pandu Sepenuh Masa
Amy Maizuraa
Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan peningkatan kuota subsidi petrol di bawah inisiatif BUDI95 kepada 600 liter sebulan bagi pemandu seru-pandu sepenuh masa berbanding kuota asal sebanyak 300 liter. Perkara ini diumumkan melalui kenyataan rasmi yang disiarkan di laman Facebook MoF semalam (13/10/25) sebagai sebahagian daripada penambahbaikan program subsidi bersasar tersebut.

Peningkatan kuota ini bertujuan untuk menyokong keperluan operasi harian pemandu seru-pandu yang bergantung kepada petrol RON95 untuk menjana pendapatan. Berdasarkan semakan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), lebih 53,900 individu layak menerima manfaat kenaikan siling ini. Selain itu, MoF turut mengumumkan peluasan program BUDI95 kepada pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak.

Program BUDI95 yang dilancarkan pada akhir September 2025 telah membolehkan mereka yang layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter. Kuota asas sebanyak 300 liter sebulan masih dikekalkan untuk penerima biasa manakala pemandu seru-pandu sepenuh masa menerima kuota tambahan bagi menampung jarak perjalanan yang lebih banyak.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






