Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihak polis telah mengesahkan bahawa tiada unsur perkauman dalam kejadian seorang pelajar lelaki menikam mati seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Bandar Utama pagi tadi.
Katanya, perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar yang memaklumkan bahawa pihak polis akan terus menyiasat elemen jenayah kes ini dan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai.
“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor yang mengesahkan bahawa pihak polis sedang menyiasat kes jenayah ini, dan dimaklumkan bahawa kes ini tidak melibatkan unsur perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Amirudin, perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, dan beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera.
“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa, dan saya mengucapkan takziah kepada mereka.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini.,” katanya.
Menurut laporan media, kejadian berkenaan berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila seorang pelajar lelaki tingkatan dua didakwa membawa senjata tajam yang dipercayai pisau ke sekolah sebelum menyerang rakan-rakannya.
Laporan awal turut mendapati suspek menikam beberapa pelajar lain dalam kejadian tersebut.
Mengulas lanjut, Amurudin berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pendidikan dan komuniti setempat supaya tahap keselamatan di semua sekolah seluruh negeri dipertingkatkan dengan segera,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa KPM telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh, telus, dan adil.
“Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhk an bagi memastikan semua aspek terkait kes ini dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.
“Pasukan kaunselor dan guru bimbingan serta kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan berasingan hari ini.
Fadhlina turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Semoga keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tikam itu.
Kes tragik ini berlaku kurang dua minggu selepas satu lagi kejadian mengemparkan berlaku di Melaka, apabila empat remaja ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah bilik darjah pada 2 Oktober lalu.
Pada 11 Oktober, polis memperoleh perintah reman enam hari terhadap suspek yang disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol beramai-ramai.
Dua hari sebelumnya, ahli Parlimen Perikatan Nasional menggesa siasatan menyeluruh berhubung kematian murid tahun tmpat yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, awal bulan ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad kemudian mengesahkan hasil bedah siasat menunjukkan murid berusia 10 tahun itu meninggal dunia akibat tekanan pada bahagian leher, tanpa kecederaan lain yang ditemui.






