Polis dilaporkan berkata, tiada unsur buli dikenal pasti setakat ini dalam kes tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, yang menyebabkan seorang pelajar maut.
Free Malaysia Today melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat berkata, meski motif pembunuhan masih dalam siasatan, buat masa ini tiada tanda-tanda buli terlibat.
Dia berkata, polis telah menahan suspek dan merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Mereka berdua adalah pelajar di sekolah itu, jadi ada kemungkinan mereka mengenali antara satu sama lain walaupun mereka mungkin tidak berkawan,” Shamsudin dilaporkan berkata dalam sidang media itu, sambil menambah bahawa kenyataan akan diambil daripada guru dan rakan mangsa.
“Seorang guru terdengar jeritan dan cuba mendapatkan bantuan, tetapi kejadian itu sudah berlaku,” katanya.
Mangsa pelajar Tingkatan Empat maut ditikam di sekolah berkenaan awal hari ini.
Menurut Berita Harian, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila suspek berusia 14 tahun didakwa membawa objek tajam – dipercayai pisau – ke sekolah sebelum menyerang rakan sekolahnya.
Laporan awal menunjukkan suspek turut menikam pelajar lain ketika kejadian.
Kes terbaru ini berlaku hampir dua minggu selepas satu lagi insiden mengejutkan negara di Melaka, apabila empat remaja ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dalam kelas pada 2 Okt.
Polis memperoleh perintah reman enam hari terhadap suspek pada 11 Okt lepas. Mereka disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol beramai-ramai.
Dua hari sebelum itu, ahli parlimen Perikatan Nasional menggesa pihak berkuasa melancarkan siasatan menyeluruh terhadap kematian seorang murid Darjah Empat yang ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, awal bulan ini dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Ketua whip PN Takiyuddin Hassan berkata siasatan mesti memastikan sama ada pelajar itu sudah mati ketika ditemui.
Menurutnya, siasatan juga perlu mempertimbangkan kemungkinan kematian itu berpunca daripada perbuatan jenayah iaitu pembunuhan.
Takiyuddin juga menyatakan kebimbangan kes itu hanya diklasifikasikan sebagai kes buli di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan, dan bukannya dianggap sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 undang-undang yang sama.
Pada 3 Okt lepas, Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata bedah siasat mendapati remaja berusia 10 tahun itu meninggal dunia akibat tekanan di lehernya, tanpa sebarang kecederaan lain ditemui.






