Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang lagi pengusaha kebun durian musang king semalam kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram mencecah ratusan ribu ringgit.
Suspek dipercayai memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti tanaman pokok durian di tanah berstatus hutan simpan dan tanah kerajaan di sebuah daerah di Pahang.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2024 hingga tahun ini dan memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram tersebut sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Tangkapan itu adalah rentetan daripada penahanan lima individu berhubung kes yang sama baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Dia juga memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.
Katanya lelaki terbabit dibebaskan selepas keterangannya diambil dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek lain serta saksi berkaitan.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan lima lelaki termasuk pekerja kilang durian berusia lingkungan 40 hingga 60-an kerana disyaki meraih hasil haram bernilai ratusan ribu ringgit dengan menanam raja buah itu di hutan simpan serta tanah kerajaan negeri di Pahang.
– Bernama






