Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) mempersoal bagaimana daerah Telupid di Sabah yang sering mengalami gangguan elektrik dan bekalan air diiktiraf sebagai bandar paling bahagia di Malaysia.
Ronald Kiandee (PN- Beluran) berkata, Telupid berjaya menewaskan Cameron Highlands yang telah dinobatkan sebagai bandar paling bahagian tahun sebelumnya.
“Telupid diisytiharkan bandar paling bahagia di Malaysia pada Tahun 2025 menerusi indeks kebahagiaan Malaysia dan menewaskan Cameron Highlands sebagai penyandang tahun sebelumnya.
“Bandar paling bahagia di Malaysia satu daripadanya kawasan saya, tapi saya tertanya-tanya macam mana (Telupid) dijadikan bandar paling bahagia kerana siang malam gangguan lampu (elektrik), tak ada lampu. Dan malam siang diganggu air.
“Tiada lampu, tiada air, jalan raya berlubang, ‘penyakit tiga serangkai’, dinobatkan sebagai bandar bahagia, hebat Telupid ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 20 Mac lalu, media melaporkan bandar Lipis di Pahang dan Telupid di Sabah dinobat sebagai antara 20 Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 menerusi Indeks Kebahagiaan Malaysia.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT dalam kenyataan memaklumkan lapan daerah dianugerahkan Bandar Paling Bahagia (Kategori Majlis Daerah) manakala 12 lagi bagi Kategori Majlis Bandaraya/Perbandaran pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.
“Selain Lipis dan Telupid, tujuh lagi bandar yang menerima anugerah sama bagi kategori Majlis Daerah ialah Cameron Highlands (Pahang), Kuala Krai (Kelantan), Bandar Baharu (Kedah), Jerantut (Pahang) dan Jelebu (Negeri Sembilan),” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ronald berkata, masalah gangguan bekalan elektrik dan air yang dihadapi itu tidak hanya berlaku di Telupid, malah keseluruhan Sabah.
Katanya, “penyakit tiga serangkai” itu adalah perkara biasa yang dihadapi mereka sebagai orang Sabah.
“Inilah yang dihadapi rakyat Malaysia di Sabah, penyakit tiga serangkai, jalan raya berlubang, gangguan lampu, gangguan air,” katanya lagi.
“Satu malapetaka yang paling hebat berlaku pada September, dipanggil September blackout, keseluruhan Pantai Timur (Sabah) dari Beluran ke Tawau, tiada lampu bukan sehari, tapi berhari-hari, lebih 10 hari,” katanya lagi.






