Malaysia Oversight

KPKT perkasa kempen elak pembaziran sempena Deepavali

By MkiniBM in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
KPKT perkasa kempen elak pembaziran sempena Deepavali


Kementerian Perumahan dan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meneruskan usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran makanan menerusi Program Libat Urus Deepavali Lestari di Stadium Bukit Jalil semalam.

Timbalan menterinya Aiman Athirah Sabu berkata program itu menumpukan kepada Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran yang dilaksanakan bagi mendidik masyarakat agar lebih berhemah menguruskan makanan terutama pada musim perayaan.

“Tumpuan KPKT sebenarnya ialah memastikan peniaga-peniaga dan pengunjung beringat supaya jangan membazir makanan kerana kita mahu kurangkan sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan.

Menurut Aiman Athirah Malaysia menghasilkan kira-kira 40,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan 44.5 peratus atau kira-kira 18,000 tan daripadanya sisa makanan.

Katanya kempen itu juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh sisa makanan global menjelang 2030.

“Kalau kita tengok di peringkat dunia, ada kurang lebih satu bilion tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari dan 60 peratus daripadanya adalah makanan.

“Kalau di Malaysia, kurang lebih 40 peratus,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu lagi, sikap membazir makanan adalah tidak sihat memandangkan masih terdapat ramai yang kelaparan di seluruh dunia.

“Di seluruh dunia ada kira-kira 800 juta manusia yang kelaparan dan dalam konteks Malaysia, program-program yang digerakkan oleh SWCorp ini adalah satu daripada advokasi kepada rakyat kita supaya semasa bergembira kita tidak membazir,” katanya.

Kempen itu juga, katanya, menekankan kepentingan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan pembuangan sampah secara berhemah.

Aiman Athirah berkata sebanyak 300 gerai makanan menyertai program berkenaan dengan penyertaan 50 petugas SWCorp yang digerakkan sejak 11 Okt lepas sehingga 19 Okt ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata pihaknya komited memastikan kebersihan negara berada pada tahap terbaik dengan kerjasama rakan strategik seperti Alam Flora Sdn Bhd.

“Kami dengan rakan strategik seperti Alam Flora memang mempunyai komitmen yang paling tinggi. Kami ingin memastikan tanah air kita bersih dan yang paling penting sekali, kebersihan kita setara dengan negara-negara maju,” katanya.

Program Libat Urus Deepavali Lestari dilaksanakan dengan kerjasama Agenda Suria Communication Sdn Bhd serta penglibatan sukarelawan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia dan ReMeal.

Ia turut merangkumi edaran apron, topi dan pelekat kesedaran kepada peniaga serta pengedaran muruku dan bekas makanan kepada pengunjung.

Bernama



Source link