Malaysia Oversight

Adakah pemain sudah diambil keterangan, tanya MP

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 2 minute
Adakah pemain sudah diambil keterangan, tanya MP


Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, menggesa pihak berkuasa memulakan siasatan berikutan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan mereka terlibat dalam dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain “warisan”.

Dalam kenyataan hari ini, Ramkarpal menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Khalid Ismail, untuk mendedahkan sama ada kenyataan daripada pemain terbabit serta pegawai berkaitan sudah diambil atau tidak, khususnya apabila salah seorang daripada mereka sudah pulang ke negara asal.

Memandangkan dapatan Fifa menunjukkan berlaku pemalsuan, katanya, terdapat keperluan mendesak agar siasatan dibuat bagi memastikan jika terdapat asas kepada penemuan tersebut.

“Dalam keadaan sedemikian, adalah jelas bahawa siasatan mesti termasuk mengambil kenyataan daripada semua pihak yang terlibat dalam permohonan dan seterusnya kelulusan kerakyatan pemain tersebut,” katanya.

Dia yang juga seorang peguam menambah, keterangan yang perlu diambil termasuk pemain itu sendiri dan pegawai JPN yang sekurang-kurangnya berpotensi menjadi saksi.

Kenyataan Ramkarpal itu merujuk kepada laporan Malaysiakini minggu lalu yang memetik sumber dalaman JPN yang mendakwa jabatan itu tidak terlibat dalam dakwaan pemalsuan dokumen untuk tujuh pemain terbabit.

Sumber itu juga menafikan dakwaan bahawa pegawai JPN bersubahat dengan pihak berkuasa, sebaliknya menegaskan bahawa peranan jabatan terbabit terhad untuk mengesahkan kelayakan kewarganegaraan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia menggunakan kuasa yang diberikan perlembagaan untuk menganggap tujuh pemain bola sepak asing itu layak diberikan kerakyatan Malaysia.

Fifa pada 26 Sept lalu mendenda FAM dan tujuh pemain bola sepak yang mewakili Harimau Malaya selepas didakwa melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib Fifa berhubung pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain bola sepak yang terlibat ialah Imanol Javier Machuca, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Menurut Ramkarpal siasatan mesti dijalankan untuk menentukan sama ada dakwaan pemalsuan Fifa adalah wajar atau sebaliknya, selain memastikan jika pihak berkuasa mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 200 Kanun Keseksaan berhubung pemalsuan maklumat.

“Penyiasatan menyeluruh dan telus terhadap skandal kerakyatan bola sepak mesti dijalankan oleh polis kerana perkara itu adalah dalam domain awam dan mencemarkan nama baik negara.

“Orang ramai berhak mendapat jawapan dan siasatan segera perlu dilakukan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.



Source link