PARLIMEN | Pembangkang hari ini mempersoalkan komitmen antirasuah dan tadbir urus baik Perdana Menteri Anwar Ibrahim di bawah Rang Undang-undang Belanjawan 2026 Putrajaya.
Ketika membahaskan cadangan itu, ketua pembangkang Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional-Larut) merujuk kepada skandal perlombongan Sabah yang menyaksikan dua Adun yang didakwa kerana rasuah setakat ini.
“Beliau (Anwar) mengangkat dirinya sebagai pejuang antirasuah, tapi dalam skandal video rasuah yang sekarang ini berleluasa disebarkan di seluruh negara terutamanya di Sabah, hanya dua Adun sahaja yang didakwa, mana dia yang enam lagi?
“Jika tatakelola terbaik diangkat sebagai tekad, mengapa ada dua layanan yang berbeza?” katanya di Dewan Rakyat.
Hamzah merujuk kepada skandal rasuah yang didakwa membabitkan pemimpin politik Sabah, termasuk menteri negeri dan wakil rakyat kerajaan.
Susulan siasatan SPRM, pihak berkuasa telah mendakwa tiga individu di mahkamah, termasuk pembantu menteri negeri Andi Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Yusof Yacob (Sindumin).
Ahli perniagaan Albert Tei, yang merupakan pemberi maklumat yang mendedahkan dakwaan rasuah melalui rakaman video, juga didakwa atas tuduhan menawarkan rasuah kepada Adun berkenaan.
Dalam ucapannya, Hamzah mempersoalkan alasan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dua pemimpin negeri itu.
“Adakah kerana dua Adun itu hanya ‘ikan bilis’, yang lain-lain punya kedudukan dalam kerajaan Sabah?
“Ini menunjukkan betullah pendakwaan terpilih berlaku dalam negara ini,” katanya.
Hamzah juga menyorot watak ala-Rasputin dalam kerajaan, difahamkan merujuk kepada bekas setiausaha politik Anwar Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Dia berkata dakwaan yang dibangkitkan bekas menteri Rafizi Ramli (Pakatan Harapan-Pandan) mengenai individu itu adalah sesuatu yang serius dan perlu dijawab oleh Anwar.
Sementara itu, sebagai menjawab cadangan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), ketua pembangkang itu menggesa Anwar untuk menghadapi kes saman sivilnya yang dibawa oleh Yusoff Rawther tanpa mendapatkan sebarang layanan istimewa.
Hamzah berkata perdana menteri perlu mengambil contoh Khalifah Saidina Ali ketika menghadapi kes mahkamah berhubung perisainya.
Menurut Hamzah, pemerintah khalifah Islam tidak meminta kekebalan atau sebarang penangguhan daripada hakim, yang akhirnya memutuskan bahawa perisai besi berkenaan adalah milik seorang lelaki Yahudi yang dituduh mencurinya.
“… Saya memohon supaya tidak ada imuniti, teruskan YAB Tambun pergi dan terus hadapi kes tersebut di mahkamah,” kata Hamzah.






