PARLIMEN | Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menyindir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek susulan kenyataannya berhubung insiden seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka diperkosa bergilir-gilir, baru-baru ini.
Berucap dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Ahmad Fadhli meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi awal Fadhlina yang menurutnya tidak menumpukan kepada soal keselamatan pelajar, sebaliknya memberi jaminan bahawa pelajar yang terlibat masih boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita sedih bila menteri pendidikan ditanya semalam, adakah murid-murid (yang terlibat dalam kes rogol bergilir-gilir) ini boleh menduduki SPM? Dia jawab bahawa murid-murid yang empat orang (suspek) ini masih boleh menduduki SPM.
“Tapi, alhamdulillah sebentar tadi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan murid-murid terlibat ini dipecat (dibuang) daripada sekolah serta-merta dan kalau nak ambil SPM pun ambil di tempat lain. Kalau perlu, ambil di pejabat Menteri Pendidikan.
“Menteri mungkin boleh buat video ‘Happy Birthday PM’, okeylah. Setakat itu. Tapi kalau nak bincang lebih lagi, ini kena bagi kepada penjawat awam,” sindir Ahmad Fadli.
Fadhlina semalam menyatakan semua empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, dibenar menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.
Fadhlina dilaporkan berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mereka berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa, susulan kes berkenaan.
Ogos lalu, Fadhlina menjadi perhatian ramai selepas tular satu video menunjukkan beliau hadir satu program di sebuah sekolah.
Kehadirannya itu tidak menjadi isu, sebaliknya permintaannya kepada murid-murid yang hadir menjadi bualan di laman sosial.
Dalam rakaman itu, dia dilihat telah meminta murid-murid untuk mengucapkan “selamat hari lahir PMX, we love you PMX”.
Sejak video itu tersebar di media sosial, netizen mula mempersoalkan sama ada wajar atau tidak seorang Menteri Pendidikan membuat permintaan seperti itu di sekolah.

Sementara itu, mengulas lanjut kenyataan Fadhlina, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS menegaskan bahawa isu sebenar bukan sekadar sama ada pelajar terlibat boleh menduduki SPM, tetapi persoalan lebih besar ialah memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk murid.
“Isunya ialah memastikan sekolah ini menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Ini bukan soal boleh atau tidak ambil SPM,” tegasnya.
Tambahnya lagi, kenyataan awal daripada menteri yang memberi jaminan pelajar terlibat masih boleh menduduki SPM disifatkan kurang sensitif terhadap kebimbangan ibu bapa dan masyarakat.
“Saya rasa, sebab itu kadang-kadang, kenyataan-kenyataan ini janganlah orang politik yang keluarkan kenyataan.
“Bagi kepercayaan pada penjawat-penjawat awam, KSU, KSU Kementerian. Mereka lebih mahir dan mereka boleh tahu macam mana cara berdasarkan polisi-polisi yang sedia ada,” katanya.
Ahmad Fadhli juga menggesa agar Kementerian Pendidikan menggubal dasar yang jelas untuk menjadikan sekolah sebagai persekitaran yang benar-benar selamat dan kondusif untuk pelajar.
“Sepatutnya sekarang ini kita perlu mewujudkan polisi sekolah selamat. Apa polisinya? Perlu segera,” katanya.
Tambah Ahmad Fadhli, dia tidak mahu meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada menteri, namun wakil rakyat PAS itu menekankan pentingnya kebijaksanaan dan keprihatinan dalam menangani isu-isu pendidikan yang semakin meruncing.
“Menangani persoalan yang telah berlaku itu perlu kepada kebijaksanaan dan keprihatinan lebih,” katanya lagi.
Semalam, empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
Kejadian terbongkar petang Jumaat lalu, selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.






