Malaysia Oversight

TUDM nafi lengahkan perintah kes bicara semula bekas sarjan

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Tentera Udara Malaysia (TUDM) menafikan dakwaan seorang bekas sarjan TUDM bahawa pasukan itu dengan sengaja melengahkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan, supaya diadakan perbicaraan semula kesnya tanpa alasan munasabah.

Panglima TUDM Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata pasukan itu memandang serius pelaksanaan perintah berkenaan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada prosedur perkhidmatan dan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata TUDM telah mengambil langkah-langkah untuk melaksanakan perintah Mahkamah Rayuan tersebut, dan perkara ini akan dijelaskan lanjut dalam prosiding tersebut.

“TUDM komited untuk memastikan segala tindakan yang diambil selaras dengan kehendak undang-undang dan tatacara perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Norazlan berkata TUDM mengambil maklum mengenai Notis Permohonan Pengkomitan yang dikemukakan Tetuan Zalil Mohd & Partners, dan notis itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media pada Jumaat melaporkan Ahmad Zaini Zainon, 42, yang disabitkan oleh Mahkamah Tentera atas kesalahan dadah, memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Panglima TUDM kerana didakwa menghina mahkamah.

Ahmad Zaini memfailkan permohonan itu melalui notis usul ex-parte (sebelah pihak) melalui firma guaman Tetuan Zalil Mohd & Partners pada 25 Sept, dengan memohon suatu perintah komital terhadap Panglima TUDM kerana tidak mematuhi perintah Mahkamah Rayuan supaya diadakan perbicaraan semula kesnya.

– Bernama



Source link