NGO, Malaysia Hindhudharma Maamandram (MHM), memphpn jasa baik Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Zambry Abdul Kadir agar melanjutkan cuti perayaan Deepavali 2025 buat mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.
Dalam surat yang ditujukan kepada menteri itu bertarikh 13 Oktober, MHM memohon KPT memberi cuti tambahan sehingga Rabu, 22 Oktober ini bagi membolehkan pelajar beragama Hindu menikmati tempoh cuti yang lebih munasabah dan setara dengan perayaan utama lain di Malaysia.

“Berdasarkan semakan terhadap beberapa takwim akademik IPTA dan IPTS, termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti, kebanyakan institusi hanya memperuntukkan cuti pada hari perayaan sahaja tanpa cuti tambahan. Keadaan ini, menurutnya, menimbulkan kesukaran logistik kepada pelajar Hindu di perantauan.
“Cuti sehari (20 Okt) seperti yang ditetapkan dalam takwim akademik IPTA dan IPTS ketika ini tidak mencukupi. Ramai pelajar terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk pulang ke kampung halaman dan kembali ke kampus dalam masa singkat.
“MHM memohon agar kementerian mempertimbangkan kelulusan cuti tambahan selama dua hari lagi pada 21 dan 22 Okt bagi memberi ruang kepada pelajar menyambut Deepavali dengan lebih tenang bersama keluarga,” kata Presiden MHM Rishikumar Vadivelu.
Surat tersebut turut menyertakan lampiran perbandingan takwim akademik IPTA bagi menunjukkan ketidakseragaman tempoh cuti antara institusi.
Rishikumar berkata KPT dapat menilai semula perkara ini selaras dengan semangat Malaysia Madani, yang menekankan nilai keadilan, kesejahteraan dan keharmonian antara kaum.
“Cuti tambahan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan inklusiviti,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang Ganabatirau turut memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KPT agar tidak mengadakan sebarang penilaian akademik pada minggu perayaan Deepavali.
“Saya menulis surat terhadap isu berulang setiap tahun berkaitan penjadualan peperiksaan dan pelbagai bentuk penilaian akademik di sekolah dan universiti yang dijalankan terlalu hampir dengan sambutan perayaan Deepavali.
“Tahun ini sekali lagi pihak kami menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar yang mendapati peperiksaan diadakan seawal minggu pertama Oktober dan ada yang berlanjutan sehingga minggu Deepavali.
“Ada juga universiti yang menetapkan penilaian dalam talian atau kuiz sehari sebelum atau sehari selepas Deepavali, yang jelas mengganggu perancangan perjalanan dan sambutan bersama keluarga.
“Oleh itu, saya memohon supaya KPM dan KPT menyusun takwim tahun 2026 dengan mengambil kira perkara seperti tiada peperiksaan, penilaian berterusan, kuiz dalam talian, tugasan atau sebarang bentuk penilaian akademik dijalankan dalam tempoh seminggu sebelum dan seminggu selepas Deepavali,” katanya.
Tambahnya, dia juga meminta kedua-dua kementerian supaya tempoh cuti sekolah sempena Deepavali diselaraskan sekurang- kurangnya satu minggu, bagi memberi ruang kepada pelajar dan guru menyambut perayaan ini bersama keluarga.






