Suunto Vertical 2 Dilancarkan Dengan Skrin AMOLED Dan Bateri Sehingga 65 Jam
Amy Maizuraa
Suunto Vertical 2 dilancarkan sebagai model baharu yang menggantikan generasi sebelum ini. Ia hadir dengan skrin AMOLED 1.5″ yang lebih besar serta resolusi 466 x 466 piksel. Ia juga menggabungkan bahan keluli tahan karat dan titanium, lengkap dengan tiga butang bagi memudahkan akses pantas walaupun ketika memakai sarung tangan.

Suunto Vertical 2 menyokong lebih 100 mod sukan, analisis latihan, amaran cuaca dan data ketinggian termasuk waktu matahari terbit dan terbenam. Ia juga menawarkan penjejakan kesihatan melalui aplikasi Suunto dan lebih 300 perkhidmatan rakan kongsi di mana sesuai untuk sukan dan gaya hidup harian.

Jam ini juga dilengkapi lampu suluh LED terbina dalam dengan kecerahan boleh laras, mod lampu merah untuk penglihatan malam, serta fungsi SOS dan amaran keselamatan. Ia turut menawarkan peta luar talian percuma yang menunjukkan garisan kontur, laluan dan rupa bumi terus pada jam dan aplikasi. Ciri Panduan Pendakian baharu pula memaparkan data ketinggian, kecerunan dan pemberitahuan semasa mendaki.


Suunto Vertical 2 menawarkan ketahanan bateri sehingga 65 jam dalam mod dwi-jalur dan sehingga 20 hari dalam mod jam tangan pintar. Di Malaysia, ia disenaraikan pada harga RM2,999 untuk varian keluli tahan karat dan RM3,499 untuk varian titanium yang menandakan pelancaran rasmi mungkin berlaku tidak lama lagi. Buat masa ini, kedua-dua model ini masih tersenarai sebagai kehabisan stok.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






