Malaysia Oversight

Fadhlina dikecam lepas kata pelajar dituduh rogol tetap boleh ambil SPM

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 2 minute
Fadhlina dikecam lepas kata pelajar dituduh rogol tetap boleh ambil SPM


Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata empat pelajar yang didakwa terlibat dalam salah laku seksual terhadap seorang murid berusia 15 tahun akan tetap dibenarkan untuk mengambil peperiksaan SPM.

Fadhlina berkata pendidikan empat pelajar Tingkatan Lima itu – dengan dua dituduh merogol dan dua lagi menyaksikan dan merakam kejadian – akan dipastikan tidak terganggu.

Jaminan itu telah mengundang kemarahan banyak pihak.

Dia juga menekankan kementerian akan memberi sokongan psikososial kepada mangsa yang kini dirawat di hospital.

“Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak…kita beri tumpuan penuh kepada guru yang mengajar dan anak-anak yang akan mengambil peperiksaan SPM.

“Hal itu yang kita utamakan ketika ini, persiapan mereka untuk menghadapi SPM supaya tidak terganggu dengan kes ini,” katanya.

Malaysiakini memiliki rakaman kenyataan tersebut.

‘Pengkhianatan melampau

Peguam Rajesh Nagarajan menyifatkan keputusan membenarkan suspek kes rogol untuk menduduki peperiksaan SPM sebagai “pengkhianatan melampau” terhadap kepercayaan awam.

“Langkah cuai ini mengutamakan prosedur birokrasi berbanding keselamatan awam, kebajikan mangsa, serta fabrik moral dalam sistem pendidikan kita.

“Dengan membenarkan individu yang dituduh merogol untuk menduduki peperiksaan kebangsaan seolah-olah tiada apa berlaku, menteri telah memberi mesej yang merisaukan – bahawa keganasan seksual boleh disapu di bawah karpet atas nama ‘hak pendidikan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

571c4e95c60b9ca9b7e6e144270d47b6
Rajesh Nagarajan

Katanya, anggapan tidak bersalah sebelum dibuktikan sebaliknya tidak bermaksud individu yang didakwa terlibat kebal daripada sebarang kesan, dan kementerian mesti memastikan sekolah kekal sebagai ruang yang selamat.

Dia berkata pelajar yang didakwa terlibat sebaliknya boleh menduduki peperiksaan yang ditangguhkan, atau mengambilnya secara berasingan di bawah pengawasan ketat.

Imej sekolah lebih penting?

Aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainudin pula membangkitkan kerisauan yang Kementerian Pendidikan mungkin dilihat mengutamakan imej sekolah berbanding penderitaan mangsa.

fb81cfebe0ecb35101c7f1127091728c
Hartini Zainudin

“Apabila kita mengutamakan imej sekolah melebihi keselamatan, apabila kita bercakap tentang peperiksaan sebelum akauntabiliti – kita sedang menghantar mesej bahawa kesakitan seorang anak tidak sepenting reputasi institusi,” katanya dalam surat terbuka kepada Fadhlina hari ini.

Hartini menggesa kementerian mengisytiharkan “dasar sekolah selamat” – di mana setiap sekolah perlu melaksanakan dasar perlindungan kanak-kanak dan melantik pegawai perlindungan kanak-kanak.

“(Selain itu) wujudkan saluran aduan selamat. Murid mesti mempunyai akses kepada cara aduan yang sulit, mudah dan selamat , tak kisah (sama ada secara) dalam talian, melalui talian bantuan, atau kaunselor sekolah yang terlatih untuk bertindak.

“Sekolah yang gagal bertindak atau menyembunyikan kes harus dikenakan tindakan tatatertib dan undang-undang. Diam dan menafikan kebenaran mesti membawa akibat,” tegasnya.

Dia turut menggesa penubuhan Pasukan Tindakan Sekolah Selamat Nasional yang dianggotai pakar psikologi, pakar perlindungan kanak-kanak, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO dan ibu bapa untuk membentuk sistem tindak balas dan akauntabiliti secara masa nyata.



Source link