Diberi peluang untuk membuat ulasan peranti Apple merupakan satu pengalaman yang cukup menarik bagi saya. Kali terakhir saya berpeluang melakukannya adalah semasa pelancaran iPhone 14 sekitar tahun 2022. Malah, saya sendiri merupakan pengguna iPhone 14 sebagai peranti harian. Oleh itu, perbandingan antara pengalaman menggunakan iPhone 14 dan iPhone 17 Pro memberikan gambaran yang jelas tentang perkembangan teknologi dan penambahbaikan reka bentuk produk Apple.

Spesifikasi Peranti
| Apple iPhone 17 Pro | ||||
|---|---|---|---|---|
| Skrin | 6.3 inci LTPO Super Retina XDR OLED, 120Hz, HDR10, Dolby Vision, 1000 nits, 1600 nits (HBM) 3000 nits (puncak) | |||
| Pemproses | Apple A19 Pro (3 nm) | |||
| Cip | 2 x 4.26 GHz | 4 x X.X GHz | ||
| Cip Grafik | GPU Apple | (grafik 6 teras) | ||
| RAM | 12GB RAM, | |||
| Muatan Dalaman | 256/512/1TB | |||
| Kamera Utama | 48 MP, f/1.8 (lebar) OIS | 48 MP, f/2.8 (telefoto periskop) OIS, 4x zum | 48 MP, f/2.2 (ultrawide) | TOF 3D LiDAR (kedalaman) |
| Kamera Swafoto | 18 MP (ultrawide) PDAF | SL 3D (sensor kedalaman/biometrik) | ||
| Bateri | 3,998 mAh | 25W Wireless MagSafe/Qi2 | 4.5W Reverse wired | |
| SIM/Telefoni | Nano/5G | |||
| NFC | Ya | |||
| Bicu Audio | Tiada | |||
| Kalis Air | IP68 | |||
| Sistem Imbasan | Pengimbas wajah Face ID | |||
| Harga Jualan | (256 GB) – RM 5499 (512 GB) – RM 6499 (1 TB) – RM 7499 |
Pengalaman Penggunaan
iPhone 17 Pro memperkenalkan beberapa perubahan yang ketara khususnya dari segi rekaan yang lebih moden. Bahagian belakangnya mempunyai ruang khusus yang menempatkan bonggol kamera secara melintang dan memanjang. Susunan ini menggantikan kedudukan asal di bucu kiri yang telah digunakan sejak iPhone 11. Walaupun rekaan keseluruhan mengalami sedikit perubahan, Apple masih mengekalkan identitinya melalui susunan tiga lensa berbentuk segi tiga yang sudah menjadi ciri lazim bagi siri Pro.

Kemasan fizikal model iPhone 17 Pro menunjukkan peningkatan dari segi reka bentuk dan fungsi. Apple menggabungkan kemasan pusam di bahagian tengah dengan logo Apple dan berkilat yang tidak licin bagi mencapai keseimbangan antara penampilan dan kegunaan. Dari sudut penggunaan harian, perkara pertama yang saya perasan ialah beratnya yang sedikit berbeza berbanding model iPhone 14. Sebagai pengguna yang terbiasa dengan peranti lebih ringan, perubahan ini agak ketara. Namun begitu, menurut rakan-rakan di pejabat, berat tersebut masih berada dalam julat yang biasa bagi model Pro.

Dari segi binaan pula, peranti ini terasa seimbang di setiap bahagian termasuk sekitar modul kamera. Keseimbangan ini memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman penggunaan yang selesa terutamanya apabila peranti digunakan dalam tempoh yang lama.
Apple turut melakukan perubahan pada bahan binaan iPhone 17 Pro dengan menggantikan titanium kepada aluminium unibody. Langkah ini menerima pelbagai reaksi terutamanya daripada pengguna yang sudah terbiasa dengan binaan titanium. Ada yang berpendapat perubahan ini menjejaskan kualiti namun Apple menjelaskan bahawa penggunaan aluminium lebih sesuai untuk pengurusan haba dan mampu menyokong prestasi termal yang lebih stabil.

Pada pandangan saya, rekaan baharu ini kelihatan kurang kemas berbanding model sebelumnya. Ia tidak selari dengan gaya reka bentuk Apple yang biasanya menitikberatkan perincian dan kemasan premium. Rekaan kali ini nampak janggal dan kurang menonjol dari segi kualiti yang sinonim dengan jenama Apple.
Aluminium ialah bahan yang lebih lembut berbanding titanium. Oleh itu, boleh dijangkakan bahawa iPhone 17 Pro ini lebih mudah tercalar terutamanya di bahagian tepi kamera yang tajam. Walaupun permukaannya dilindungi dengan kemasan tahan calar namun ia tetap terdedah kepada geseran apabila bersentuhan dengan objek seperti kabel atau kain.

Meletakkan telefon bersama kunci atau syiling juga berisiko menyebabkan kesan calar. Perkara ini turut disuarakan oleh beberapa pengguna lain yang meluahkan rasa kurang senang terhadap binaan aluminium khususnya bagi unit dengan warna-warna terang seperti jingga dan biru. Ramai dalam kalangan mereka melaporkan kerosakan fizikal yang ketara selepas tempoh penggunaan yang singkat.
Namun selepas hampir tiga minggu menggunakan iPhone 17 Pro, kemasannya masih kelihatan seperti baharu. Skrinnya juga masih dalam keadaan baik walaupun saya tidak menggunakan sebarang pelindung tambahan. Meskipun begitu, saya tidak dapat menjamin ketahanan jangka panjang kerana ia amat bergantung kepada cara penggunaan dan tahap penjagaan harian.

Butang kuasa dan butang kamera masih dikekalkan di bahagian kanan peranti. Di sebelah kiri pula, terdapat tiga butang tambahan untuk pelarasan audio serta satu Action Button yang boleh disesuaikan mengikut keperluan. iPhone 17 Pro turut menyokong pembesar suara stereo yang ditempatkan bersebelahan dengan port USB-C dan satu lagi di bahagian ganggang telinga.
Mengenai port USB-C, saya mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri kerana iPhone 14 yang saya gunakan sebelum ini masih menggunakan sambungan Lightning. Walaupun perubahan ini memerlukan sedikit penyesuaian, saya dapati penggunaan USB-C lebih praktikal dan serasi dengan pelbagai aksesori moden yang saya gunakan setiap hari.

Sepanjang penggunaan saya terhadap iPhone 17 Pro, fungsi Face ID berfungsi dengan baik seperti biasa. Meskipun terdapat beberapa perubahan kecil pada bahagian dalaman, saiz modul kamera hadapan masih besar dan jelas. Saya juga sudah terbiasa sejak menggunakan iPhone 14 yang masih mengekalkan takuk, jadi kehadiran modul ini tidak mengganggu pengalaman penggunaan saya secara keseluruhan.
iPhone 17 Pro hadir dengan penarafan IP68, yang secara teknikal membolehkan ia bertahan pada kedalaman sehingga 1.5m selama 30 minit. Namun begitu, Apple mendakwa peranti ini mampu bertahan sehingga 6 meter, satu angka yang jauh melebihi piawaian biasa. Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah cuba merendamnya. Setakat terkena hujan atau percikan air dalam penggunaan harian, tiada sebarang masalah yang saya hadapi.

Paparan 6.3 inci Super Retina XDR OLED sememangnya menyerlah, seperti yang dijangka daripada sebuah peranti Apple. Ia menyokong teknologi ProMotion yang membolehkan kadar segar semula berubah secara automatik mengikut corak penggunaan. Bagi pengguna yang ingin mengekalkan kadar 60Hz, tetapan tersebut boleh diubah melalui menu ketercapaian (accessability). Selain itu, skrin ini turut dilindungi dengan Ceramic Shield Glass 2 bagi meningkatkan ketahanan terhadap calar.
Saya mendapati pantulan cahaya berkurang dan paparan lebih jelas apabila digunakan di luar terutama di bawah cahaya matahari. Kualiti visual turut dipertingkatkan dengan sokongan HDR10 dan Dolby Vision yang menjadikan video lebih terang dan hidup. Menariknya, HDR Apple turut berfungsi dalam mod tetingkap, jadi kandungan HDR boleh dinikmati tanpa perlu skrin penuh. Ciri True Tone juga masih dikekalkan dan membantu menyesuaikan suhu warna skrin mengikut pencahayaan sekeliling.

Sistem pembesar suara iPhone 17 Pro berfungsi dengan baik. Ia menggunakan susunan stereo dengan satu pembesar suara di bahagian bawah dan satu lagi di atas yang turut berfungsi sebagai ganggang telinga. Bunyi yang dihasilkan jelas untuk tontonan video, muzik dan panggilan, walaupun tidak sepenuhnya seimbang kerana pembesar suara bawah lebih dominan.
Tahap kekuatan bunyi juga sederhana. Di kawasan terbuka atau dalam suasana bising, saya perlu menaikkan volume ke tahap maksimum untuk mendengar dengan selesa. Secara keseluruhan, kualiti audio memadai untuk kegunaan harian namun kurang sesuai untuk memenuhi ruang yang luas.
Perkakasan Dalaman – Apple A19 Pro
iPhone 17 Pro dilengkapi dengan cip A19 Pro yang dibina menggunakan teknologi 3nm (N3P). Cip ini merupakan antara yang paling berkuasa pernah digunakan dalam peranti iPhone. Berdasarkan kenyataan Apple, prestasinya mampu mencapai sehingga 40 peratus lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Dalam penggunaan harian, aplikasi dapat dibuka dengan lebih pantas. Setiap tugasan berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan. Selain itu, ciri kecerdasan buatan seperti Apple Intelligence juga berfungsi hampir serta-merta.

Model tahun ini turut menawarkan storan dalaman asas bermula pada 256GB manakala versi Pro Max menyediakan pilihan sehingga 2TB. Unit yang saya gunakan dilengkapi dengan memori 12GB RAM dan 512GB storan dalaman. Gabungan ini memberikan prestasi yang sangat memuaskan serta ruang simpanan yang mencukupi untuk keperluan harian seperti rakaman video 4K, suntingan foto, dan penggunaan aplikasi produktiviti.

Dalam penggunaan berterusan dan tugasan berat, prestasi iPhone 17 Pro dilihat konsisten. Seperti generasi terdahulu, cip pemproses mungkin mengalami sedikit penurunan kuasa apabila suhu meningkat, namun kesannya adalah minimum dan tidak menjejaskan kelancaran keseluruhan. Saya masih dapat menjalankan aplikasi berat dan melakukan multitasking dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Pengalaman bermain permua turut sangat memuaskan. Cip A19 Pro mampu menjalankan Honor of Kings (HOK) pada kadar bingkai stabil 60FPS dengan tetapan High dan Ultra. Malah, ia boleh mencapai sehingga 120FPS secara konsisten pada tetapan Max dan Ultra. Penurunan kadar bingkai hanya berlaku sedikit sekitar 119FPS, namun tidak memberi kesan ketara terhadap pengalaman permainan. Berikut perbandingan ringkas cip A19 Pro dengan cip mercu lain:
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy Z Fold7
- Exynos 2500 – Samsung Galaxy Z Flip7
- Snapdragon 8 Elite – Honor Magic V5
- Snapdragon 8 Elite (7 Teras) – Oppp Find N5
- Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
- MediaTek Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
- Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
- Tensor G5 – Google Pixel 10 Pro XL
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 1,747,012 |
| Samsung Galaxy Z Flip7 | 1,542,966 |
| Honor Magic V5 | 1,732,200 |
| Oppo Find N5 | 2,157,718 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2,341,598 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Oppo Find X8 Pro | 2,629,017 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |
Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 2745 | 9060 |
| Samsung Galaxy Z Flip7 | 2236 | 7627 |
| Honor Magic V5 | 1286 | 4926 |
| Oppo Find N5 | 2866 | 7987 |
| Xiaomi 15 Ultra | 2918 | 8917 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Oppo Fin X8 Pro | 2663 | 8959 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 5633 |
| Samsung Galaxy Z Flip7 | 5201 |
| Honor Magic V5 | 6025 |
| Oppo Find N5 | 5507 |
| Xiaomi 15 Ultra | N/A |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Oppo Find X8 Pro | 6251 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 3266 |
Perisian Dalaman – iOS 26
Apple telah melancarkan iOS 26 sebagai sistem operasi utama untuk semua model iPhone terbaru. Kemas kini ini bukan sahaja menawarkan pelbagai peningkatan teknikal, malah turut membawa nafas segar kepada ekosistem iPhone secara menyeluruh.

Antaramuka Liquid Glass merupakan antara elemen paling menonjol dalam iOS 26. Ikon dan skrin kini memaparkan kesan pantulan serta kilauan cahaya yang bergerak mengikut sentuhan jari. Ia juga bertindak balas secara automatik terhadap mod gelap dan terang. Berdasarkan pengalaman saya, kesan visual ini memberikan sentuhan moden yang menarik walaupun pada awalnya agak janggal untuk dibiasakan.

Satu lagi ciri menarik ialah Live Translation, yang membolehkan terjemahan perbualan secara langsung semasa panggilan melalui FaceTime dan panggilan biasa. Saya telah mencubanya beberapa kali dan walaupun terjemahannya tidak sepenuhnya tepat, ia tetap berguna untuk memahami konteks asas perbualan. Namun, cubaan melalui panggilan biasa masih belum berfungsi dengan baik dan ciri ini masih dilabelkan sebagai versi Beta.
Selain itu, terdapat juga fungsi Call Recording yang membolehkan rakaman setiap perbualan direkod semula dan disimpan terus ke dalam aplikasi Notes untuk rujukan kemudian. Fungsi Genmoji dan Image Playground turut menawarkan pengalaman yang menyeronokkan. Saya boleh mencipta emoji berdasarkan wajah sendiri atau teks pilihan, dan hasilnya cukup menghiburkan.

Aplikasi Messages turut menerima beberapa penambahbaikan berguna. Kini saya boleh menjalankan undian dalam kumpulan serta menetapkan latar belakang perbualan mengikut citarasa sendiri. Walaupun perubahan ini kelihatan kecil, ia memberikan keselesaan tambahan dalam komunikasi harian.
Selain itu, apabila berkongsi lokasi melalui iMessage, maklumat keberadaan pemilik akan dipaparkan secara langsung dalam kandungan mesej. Ia turut menunjukkan lokasi semasa, jarak dan anggaran masa perjalanan untuk ke destinasi tersebut selagi pilihan perkongsian lokasi langsung diaktifkan.

Dalam iOS 26, Apple menawarkan aplikasi baharu bernama Games sebagai hab utama untuk permainan di iPhone. Ia menghimpunkan Apple Arcade dan permainan pihak ketiga dalam satu platform yang tersusun dan mudah diakses. Antara ciri utama termasuk tab ‘Home’ yang memaparkan cadangan permainan dan senarai ‘Continue Playing’, integrasi sosial seperti cadangan daripada rakan dan mod bermain bersama melalui fungsi ‘Play Together’.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Berdasarkan pengalaman saya menggunakan kamera utama iPhone 17 Pro, prestasinya konsisten dalam pelbagai jenis pencahayaan dan lokasi. Walaupun tidak sepenuhnya mengatasi pesaing dalam kategori mercu, hasil yang ditawarkan tetap memuaskan.

Sistem zum optikal sehingga lapan kali membolehkan saya menangkap butiran dengan baik tetapi kualiti imej menurun apabila mencapai tahap zum maksimum. Untuk penggunaan harian, saya lebih selesa menggunakan zum empat kali kerana hasilnya lebih stabil dan jelas. Pilihan ini amat sesuai untuk penggambaran harian yang bersifat spontan serta gambar biasa yang tidak memerlukan perincian ekstrem.






Satu ciri yang saya anggap sangat membantu ialah Photography Styles. Fungsi ini membolehkan saya melaraskan tona warna imej secara langsung melalui tetapan kamera. Dengan adanya pilihan ini, saya bebas menyesuaikan warna mengikut suasana rakaman atau cita rasa peribadi. Gaya seperti Vivid, Rich Contrast, Warm dan Cool memudahkan saya mendapatkan gambar yang lebih menarik yang menjadikan suntingan tambahan tidak lagi diperlukan.




Peralihan automatik kepada lensa makro berlaku dengan sangat pantas terutamanya sebelum kemas kini iOS 26.0.1. Dalam beberapa situasi, saya perasan kamera bertukar ke mod makro tanpa disedari yang sedikit mengganggu ketika cuba mengambil gambar biasa. Dari segi warna, hasil tangkapan cenderung kepada tona warm dan kadangkala mengalami terlebih dedahan (exposure). Kesan ini menyebabkan kontras kelihatan agak pudar khususnya dalam suasana terang.




Semasa merakam dalam keadaan cahaya belakang yang terlalu terang, saya perhatikan terdapat kesan warna tidak sekata di tepi objek. Garis halus berwarna kadangkala muncul di sekeliling subjek. Walaupun kesan ini wujud, ia tidak terlalu ketara dan masih boleh diterima dalam kebanyakan situasi.
Bagi penggunaan kamera hadapan, mod Center Stage berfungsi dengan baik. Ia dapat mengesan dan mengekalkan subjek secara automatik semasa panggilan video atau rakaman. Hasilnya, subjek berada dalam bingkai dengan pergerakan yang lancar serta fokus yang stabil, walaupun berlaku pergerakan drastik.


Mod potret turut memberikan pengalaman yang memuaskan. Kemampuannya untuk memisahkan subjek daripada latar belakang adalah kemas dengan potongan subjek yang kelihatan rapi dalam kebanyakan tangkapan. Walaupun terdapat sedikit kelemahan pada bahagian tepi khususnya apabila subjek memakai aksesori kecil seperti cermin mata, isu ini tidak memberi kesan besar terhadap kualiti keseluruhan imej.



Kesan bokeh yang dihasilkan kelihatan semula jadi dan tidak berlebihan. Tona kulit pula seimbang dan menyerlah tanpa menunjukkan kesan pemprosesan yang keterlaluan. Kualiti imej yang dihasilkan cukup memuaskan dan sesuai digunakan untuk rakaman harian serta penghasilan gambar potret yang berkualiti tinggi. Walaupun terdapat sedikit ruang untuk penambahbaikan dari segi ketepatan pemisahan subjek dalam situasi yang lebih kompleks, prestasi keseluruhan mod potret ini masih boleh diharap.



Mod malam berfungsi dengan baik dalam keadaan pencahayaan rendah. Imej yang dihasilkan kelihatan jelas, dan tahap hingar terkawal walaupun dalam suasana yang mencabar. Butiran masih dapat dikekalkan selagi pencahayaan berada dalam julat yang stabil dengan kesan silau dan kontras yang seimbang. Kesan ini lebih ketara apabila sumber cahaya berada di luar bingkai atau menyebabkan kontras tinggi. Saya juga dapati kualiti imej terbaik dapat dihasilkan melalui zum satu atau dua kali. Dalam julat ini, kamera mampu mengekalkan keseimbangan antara ketajaman dan pencahayaan tanpa menjejaskan butiran penting.








Rakaman video menunjukkan kestabilan rakaman yang baik hasil daripada sistem penstabilan imej yang berkesan. Kualiti rakaman dalam resolusi 4K juga memuaskan. Mod ProRes memberikan kebebasan kepada pengguna yang melakukan suntingan warna secara terperinci, manakala fungsi Dual Capture membolehkan rakaman serentak daripada dua kamera tanpa sebarang sela masa dengan kualiti rakaman yang konsisten.

Fungsi suntingan berasaskan AI setakat ini hanya menyokong mod Clean Up. Ketepatan sistem dalam mengenal pasti objek untuk dipadam masih kurang memuaskan dan kadangkala tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Meskipun saya boleh memilih kawasan secara manual, hasil suntingan tidak sentiasa kemas dan kadangkala kelihatan tidak sekata. Ia masih memerlukan penambahbaikan terutamanya dari segi pemprosesan imej dan pengecaman subjek bagi menghasilkan suntingan yang lebih tepat.
Fungsi Open Gate membolehkan rakaman menggunakan kesemua sensor kamera sekali gus memberikan kebebasan kepada pengguna untuk memangkas (crop) kepada nisbah 4:3 atau 16:9 semasa suntingan tanpa menjejaskan kualiti video. Ciri ini boleh diakses melalui aplikasi Final Cut Camera daripada Apple.
Fungsi Genlock pula menyokong rakaman serentak menggunakan beberapa unit iPhone 17 Pro secara selari. Untuk mengaktifkannya, pengguna perlu menggunakan aplikasi Final Cut Camera bersama storan luaran yang sesuai. Peranti tambahan seperti Blackmagic Camera ProDock diperlukan bagi memastikan rakaman stabil dan diselaraskan dengan tepat.
Bateri Dan Pengecasan Pantas
Apple kini tidak lagi mendedahkan kapasiti bateri secara rasmi seperti kebiasaannya. Namun, berdasarkan pengalaman saya menggunakan iPhone 17 Pro, prestasi bateri dapat dinilai melalui beberapa sesi penggunaan harian yang berbeza.
Dalam satu sesi penggunaan, saya mula mengecas peranti pada jam 10 pagi dan menggunakannya sehingga 12 tengah malam. Sepanjang tempoh tersebut, skrin aktif selama 5 jam 17 minit manakala berada dalam keadaan ‘idle’ selama 33 minit. Pada penghujung hari, baki bateri hanya tinggal 2% yang menunjukkan corak penggunaan yang berat.

Dalam penggunaan yang lain, saya mengecas peranti ini pada jam 12 tengah hari dan menggunakannya sehingga jam 7 petang. Sepanjang tempoh tersebut, skrin aktif selama 5 jam manakala dalam keadaan idle selama 2 jam 5 minit. Menjelang penghujung hari, baki bateri masih tinggal sebanyak 38% yang menunjukkan pengurusan tenaga lebih efisien dalam situasi penggunaan sederhana.
Saya turut mencubanya dalam satu lagi penggunaan, di mana skrin aktif selama 6 jam 10 minit dengan 2 jam masa idle dan 2 jam skrin menyala secara berterusan. Prestasi bateri dalam tempoh ini menunjukkan tahap ketahanan yang stabil dan boleh diharap untuk pelbagai jenis tugasan harian.
Keseluruhan corak penggunaan ini menunjukkan bahawa iPhone 17 Pro mampu bertahan sepanjang hari dengan penggunaan sederhana hingga berat, bergantung pada jenis aktiviti, aplikasi yang digunakan, dan tahap kecerahan skrin. Prestasi baterinya juga cukup meyakinkan untuk memenuhi keperluan harian.
*idle – merujuk kepada keadaan di mana peranti masih aktif seperti memainkan audio atau menjalankan aplikasi di latar belakang tetapi skrin tidak menyala sepenuhnya.
Kesimpulan
iPhone 17 Pro hadir dengan reka bentuk moden dan ciri berprestasi tinggi. Skrin Super Retina XDR OLED bersama Pro Motion memberikan paparan yang tajam manakala antara muka Liquid Glass dalam iOS 26 menambah kesan sentuhan yang lebih menarik.
Cip A19 Pro menawarkan kelajuan dan kecekapan yang mengagumkan. Aplikasi dibuka dengan pantas, tugasan berjalan lancar dan ciri Apple Intelligence berfungsi serta-merta. Gabungan memori 12GB RAM dan storan dalaman 512GB memberi ruang dan kelajuan mencukupi untuk tugasan berat seperti suntingan gambar, rakaman video dan multitasking.

Sistem kamera peranti turut dipertingkatkan dengan sensor utama yang lebih besar serta sokongan rakaman profesional seperti Genlock dan Open Gate. Hasil gambar lebih tajam dalam pelbagai keadaan cahaya, manakala rakaman video lebih stabil dan sesuai untuk pencipta kandungan.
Siapa patut membelinya? Pengguna iPhone 13, 12 atau model lebih lama akan merasai peningkatan ketara dari segi prestasi, paparan dan ciri baharu seperti Apple Intelligence. Bagi pengguna iPhone 15 atau 16 Pro, naik taraf hanya berbaloi jika anda perlukan ciri rakaman profesional atau mahukan akses penuh kepada Apple Intelligence. Jika tidak, model sedia ada masih berkuasa dan sesuai untuk kegunaan harian.
Pro
- Paparan Super Retina XDR OLED dengan ProMotion yang tajam dan responsif.
- Cip A19 Pro untuk prestasi multitasking lancar.
- AI terbina untuk tugasan harian yang lebih pintar.
- Kamera utama menyokong Genlock & Open Gate untuk rakaman profesional.
- Bateri tahan lama sesuai untuk penggunaan sepanjang hari.
Kontra
- Rekaan tidak kemas
- Aluminium mudah tercalar berbanding titanium
- Tiada peningkatan ketara kecuali untuk rakaman profesional.
- Tiada peningkatan ciri AI yang ketara berbanding siri iPhone 16.







