PARLIMEN | Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa pola pemakanan dan kualiti makanan rakyat di negara ini antara punca utama peningkatan kes kanser di Malaysia.
Justeru, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang giat memperkukuh program Keselamatan dan Kualiti Makanan sebagai langkah pencegahan jangka panjang.
Menurut Dzulkefly, pemantauan terhadap keseluruhan rantaian bekalan makanan daripada ladang ke meja adalah kritikal dalam usaha mengekang penyakit kanser yang kini merekodkan lebih 40,000 kes baharu setiap tahun.
“Seluruh rantaian bekalan makanan perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi dalam konteks perdagangan makanan global hari ini.
“Saya sering tekankan bahawa program Keselamatan dan Kualiti Makanan ini bertindak sebagai ‘penjaga pintu’ kepada kesihatan rakyat kerana banyak penyakit berpunca daripada pemakanan.
“Sama ada makanan itu sedia dimakan, diproses secara tempatan, dihasilkan dalam negara atau diimport, semuanya perlu dipastikan selamat dan berkualiti,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) meminta menteri kesihatan menyatakan apakah kerajaan mempunyai data ataupun maklumat rekod yang menunjukkan bahawa pemakanan hari ini merupakan sumber yang menyebabkan penyakit kanser.
Dzulkefly yang juga ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut menegaskan bahawa aspek pemakanan bukan hanya berkait dengan orang dewasa, tetapi juga memberi kesan kepada kes kanser dalam kalangan kanak-kanak yang dilihat semakin meningkat, khususnya leukemia dan limfoma.
“Kanser Kanak-kanak juga menunjukkan trend meningkat. Peningkatan kes kanser dalam kalangan kanak-kanak, dengan 4,303 kes dicatat antara 2012–2016, terutamanya kanser darah (leukemia).
“Untuk itu juga KKM sedang menambah bilangan pakar onkologi pediatrik untuk memenuhi keperluan ini,” katanya.
Terdahulu, KKM melaporkan lebih 40,000 kes kanser baru dicatatkan setiap tahun di negara ini, dengan kanser payudara, kolorektal dan paru-paru antara yang paling tinggi direkodkan.
Menurut Dzulkefly, langkah pencegahan dan saringan awal sedang dipertingkat melalui pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Kanser, termasuk perluasan program imunisasi, saringan berkala serta kempen kesedaran awam seperti Pink October.
“Sebanyak 40,570 kes kanser baharu dilaporkan pada 2022, dan 38,814 kes pada 2023. Antara 10 kanser utama ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, linfoma, hati, prostat dan tiroid,” katanya.
Berdasarkan statistik mengikut jantina, lima jenis kanser utama dalam kalangan wanita ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, corpus uteri dan kanser ovari.
Sementara itu, lima jenis kanser utama yang paling banyak menyerang lelaki ialah kanser kolorektal, paru-paru, prostat, hati dan kanser limfoma.
Mengulas lanjut, dalam usaha menangani peningkatan ini, Dzulkefly berkata KKM melaksanakan pelbagai inisiatif bawah Pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan.
“Ini termasuk pencegahan primer melalui promosi gaya hidup sihat, imunisasi HPV sejak 2010 (bagi cegah kanser serviks).
“Saringan besar-besaran kanser kolorektal, 77,158 individu disaring menggunakan FOBT. Kanser payudara 857,722 yang mana wanita disaring melalui klinikal/mammogram.
“Kanser serviks, 410,664 wanita jalani Pap smear dan ujian HPV. Bagi kanser paru-paru, saringan guna X-ray berasaskan AI dan CT scan rendah dos.
Tambah Dzulkefly, Malaysia juga turut mula membangunkan keupayaan rawatan berteknologi tinggi termasuk terapi gen dan perubatan ketepatan, imunoterapi dan terapi sasaran, diagnostik berpandukan AI, pembedahan robotik.
“Kita sedang membina kapasiti. Saya lawati King Hussein Cancer Centre di Jordan dan dapati mereka jauh lebih ke hadapan. Kita mahu pakar kita jalani latihan dan attachment agar tak ketinggalan dalam rawatan kanser berasaskan teknologi,” katanya.
“Walaupun kemudahan seperti Proton Therapy masih belum ada di Malaysia, beliau menegaskan bahawa teknologi pengimejan canggih seperti MRI dan Low-dose CT scan telah mula digunakan dalam inisiatif seperti Lung Health Initiative,” tambahnya.






