Malaysia Oversight

Pakar psikologi siapkan buku antibuli 7 hari lepas kes Zara Qairina

By MkiniBM in October 13, 2025 – Reading time 4 minute
Pakar psikologi siapkan buku antibuli 7 hari lepas kes Zara Qairina


EKSKLUSIF | Selepas berita kematian Zara Qairina di asrama sebuah sekolah di Sabah tersebar, pakar psikologi klinikal kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli menyiapkan sebuah dalam masa tujuh hari mengenai cara menangani perbuatan buli.

Buku bertajuk “Antibuli 360°: Panduan Psikologi dan 11 Strategi Praktikal untuk Ibu Bapa, Guru dan Rakan Sebaya” itu merupakan panduan psikologi yang tercetus daripada rasa kecewa Dr Aishah akibat kejadian tersebut.

“Saya sedang menonton berita (tentang Zara Qairina) dan tiba-tiba saya rasa amat kecewa. Saya terus bangun, pergi ke komputer dan selama tujuh hari tanpa henti, saya menulis,” kata pakar berkenaan yang lebih biasa menyediakan laporan penilaian psikologi untuk hakim di mahkamah berbanding menulis buku untuk orang awam.

3a3dd302ccff897a00adf3ee8b806347

Aishah mengakui tindakan untuk menghentikan budaya buli di seluruh negara memerlukan masa, namun dia percaya bahawa gejala itu boleh diubah dan sebab itulah memilih tajuk bukunya “Antibuli 360°”.

“Buku ini seperti panduan latihan untuk guru, ibu bapa dan rakan sebaya,” katanya.

Buku berkenaan bertujuan menawarkan strategi praktikal berasaskan psikologi untuk menghentikan kegiatan buli di sekolah melalui empati, kesedaran dan pendidikan emosi sejak awal.

“Kalau pun tak semua sekolah atau seluruh Malaysia dapat dibebaskan daripada buli, sekurang-kurangnya biarlah ada satu sekolah yang benar-benar bebas — di mana pelajarnya ikhlas berkata bahawa mereka saling menyayangi,” katanya.

Sebagai ibu kepada empat anak berusia 12 hingga 22 tahun, Aishah berasa kecewa dengan kes buli di sekolah yang sering berulang, namun tetap bertekad untuk membaiki kelemahan dalam sistem sedia ada.

Aishah sebelum ini merupakan saksi pakar dalam kes berprofil tinggi melibatkan kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

Rang Undang-Undang Antibuli

Usaha Aishah itu dilakukan ketika negara sedang giat membanteras perbuatan buli.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Ibrahim menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Antibuli 2025 perlu dibentangkan dalam sidang Parlimen ini (yang berakhir pada 4 Disember), sambil menyifatkan buli sebagai “jenayah senyap yang mesti dihentikan dari akar umbinya melalui empati dan penguatkuasaan yang tegas.”

Bulan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa pandangan pelajar — termasuk dari sekolah rendah dan menengah — akan dikumpulkan melalui sesi townhall sebelum rang undang-undang itu digubal, bagi memastikan suara pelajar turut membentuk dasar tersebut.

9753de03907ae89decefe5612e1eec7c

“Saya faham undang-undang perlu pandangan peguam, tapi sebagai ahli psikologi, saya juga patut menyumbang dalam Rang Undang-Undang Antibuli,” kata Aishah.

“Saya tunggu ada yang hubungi saya, tapi setakat ini belum ada,” kata kaunselor berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

“Sekarang, kes buli ada di mana-mana. Ramai kata susah nak selesaikan.

“Saya setuju, tapi kita perlu duduk berbincang dan susun semula cara kita tangani isu ini, kalau tidak semua orang akan terus tertekan.

“Saya pun rasa tertekan. Sebagai ahli psikologi, saya sedih tengok perkara ini berlaku sebab saya tahu ia boleh ditangani,” katanya tegas.

Julai lalu, kematian Zara Qairina, pelajar berusia 13 tahun yang ditemui di tingkat bawah bagunan asrama sekolahnya di Sabah, mencetuskan kemarahan orang ramai apabila pihak berkuasa pada awalnya menafikan kes itu sebagai kes buli.

Inkues mengenai kejadian itu kini sedang berjalan dengan saksi dipanggil memberi keterangan.

Awal bulan ini, seorang murid Tahun Empat di Senawang, Negeri Sembilan ditemui tidak sedarkan diri di tandas sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia.

Bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat tekanan pada leher dan polis telah mengambil keterangan daripada 35 individu berhubung kejadian itu.

Pendidikan emosi dari Tahun Satu

Salah satu langkah penting untuk menangani buli sekolah, kata Aishah, ialah memahami psikologi kanak-kanak terlebih dahulu.

Ketiadaan ahli psikologi kanak-kanak di sekolah-sekolah menyebabkan pelajar tidak disaring secara profesional — misalnya keadaan seperti IQ rendah, ADHD dan autisme sering disalah tafsir sebagai kenakalan, lalu menimbulkan stigma dan kadang-kadang membawa kepada buli.

e8dfad592c2f1a27a92d6cdd10725e2d

“Kanak-kanak seperti ini sering menjadi mangsa keadaan,” kata bekas pensyarah Universiti Malaya dalam bidang kaunseling prasiswazah itu.

“Kadang-kadang ibu bapa atau guru fikir mereka membuli orang lain, padahal mereka sendiri menghadapi masalah tertentu. Sebab itu saringan awal sangat penting, tetapi kita tak boleh laksanakan kerana tiada ahli psikologi di sekolah,” katanya.

Cemburu itu normal

Selepas 17 tahun bertugas dengan kanak-kanak dan remaja, Aishah yang juga pengasas CPC International di Bangi — berkata “kunci” dalam menangani buli ialah memahami emosi sejak kecil.

“Mulakan pengajaran tentang emosi positif dan negatif dari Tahun Satu,” katanya.

Dia menegaskan bahawa nilai dan empati perlu ditanam sebelum pengaruh rakan sebaya terbentuk dalam diri anak-anak.

“Pada usia tujuh tahun, kanak-kanak masih belum mengenal personaliti mereka, jadi kita mesti mula ajar apa yang betul dan apa yang salah,” katanya.

f526a2be752daca0eea08d4bca8a2bb8

Dia menjelaskan bahawa kanak-kanak mesti diajar bahawa emosi seperti marah atau cemburu adalah normal, tetapi memerlukan kawalan diri dan batasan agar tidak mencederakan orang lain.

“Ada jenis cemburu yang mendorong kita untuk memperbaiki diri, tetapi ada juga cemburu yang membawa kepada fitnah dan menyakiti orang lain,” tambahnya.

Buku Antibuli 360°, setebal 195 halaman dan diterbitkan sendiri dengan 1,000 naskhah, akan mula dijual minggu depan di Shopee, TikTok (melalui CPC International) dan laman web kliniknya.

Dasar berasaskan kasih sayang

Aishah berkata buku dihasilkannya bukan sekadar cadangan dasar, tetapi seruan untuk menyemai kasih sayang.

Dia membayangkan bahawa sekolah perlu memupuk rasa belas ihsan sebagai amalan harian.

“Ia bukan mustahil. Jika setiap orang dalam bilik darjah benar-benar mengambil berat dan saling menjaga, sekolah itu boleh bebas daripada buli,”katanya.

Aishah juga percaya bahawa hubungan emosi antara pelajar ialah salah satu cara paling berkesan untuk mencegah buli.

Menurutnya, apabila suasana bilik darjah dipenuhi rasa saling hormat menghormati dan saling mengambil berat antara satu sama lain, keinginan untuk menyakiti orang lain akan hilang.

Resipi melahirkan ‘pembela rakan sebaya’

Antara cadangannya ialah melantik pelajar sebagai ‘pembela’ — rakan sebaya yang dilatih untuk memerhati dan bertindak apabila berlaku insiden buli, bagi mewujudkan rasa tanggungjawab bersama.

“Lantik pelajar di setiap sekolah sebagai pembela, masing-masing menjaga satu sama lain. Awak lindungi saya, saya lindungi awak,” jelasnya.

Dia turut menyeru agar kes buli dikendalikan dengan jujur dan teus di sekolah, serta menegaskan agar guru dan pentadbir memikul tanggungjawab, bukannya melindungi reputasi institusi.



Source link