Kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berkemampuan tetapi culas membayar balik.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga memberikan pendidikan percuma PTPTN kepada anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“Sukacita saya umumkan, mulai tahun 2026, kerajaan memberikan pendidikan percuma PTPTN
melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun.
“Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah. Ini memanfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan 90 juta ringgit setahun.
“Kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam yang mampu bayar dan bekerja di luar negara, tetapi culas membuat bayaran balik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Anwar, PTPTN lahir dari iltizam mengeluarkan anak bangsa dari kancah kemiskinan melalui pendidikan.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memperjuangkan pemansuhan senarai hitam peminjam PTPTN yang dilaksanakan ketika era pentadbiran BN.






