Sebuah NGO alam sekitar mengecam Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana didakwa menghalang pelajar dan kakitangannya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan bahawa universiti itu telah mengupah kontraktor swasta untuk membunuh anjing liar di sekitar kampusnya.
Pertubuhan Pelestarian Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa universiti itu telah menghantar e-mel rasmi kepada pelajar dan warga kerjanya dengan arahan supaya tidak memberi sebarang komen mengenai isu berkenaan — satu tindakan yang disifatkan “melanggar perlembagaan dan menyalahi undang-undang”.
“Ini jelas merupakan cubaan oleh UPM untuk menindas kebebasan bersuara pelajar dan staf akademiknya — satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh sebuah institusi pengajian tinggi,” kata Presiden Peka, Rajesh Nagarajan dan Setiausaha Agungnya Vimala Raghawan pada satu kenyataan bersama hari ini.
Peka turut menegaskan bahawa kandungan e-mel tersebut secara tersirat mengakui bahawa UPM telah melantik pihak ketiga untuk “membunuh” anjing-anjing liar berkenaan.

“Ini merupakan pengakuan tanggungjawab. Menyerahkan tugas membunuh kepada pihak ketiga tidak melepaskan liabiliti undang-undang.
“UPM telah membayar kontraktor swasta untuk membunuh anjing — satu perbuatan yang bertentangan dengan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” tegas mereka.
Sehubungan itu, Peka menuntut agar UPM mengeluarkan permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia serta komuniti kebajikan haiwan serta melaksanakan prosedur pengurusan haiwan yang berperikemanusiaan, sah di sisi undang-undang dan telus.
NGO itu juga menggesa pihak pengurusan UPM untuk segera menganjurkan sesi dialog yang dijanjikan bersama pelajar, NGO dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
UPM arah jaga integriti
Berdasarkan tangkap layar e-mel yang tular, UPM mengakui telah mengupah kontraktor pihak ketiga bagi mengurus aduan gangguan oleh anjing liar di kawasan kampus.
E-mel itu turut menyebut laporan telah dibuat kepada DVS dan polis, sambil menasihatkan warga kampus agar tidak mengeluarkan kenyataan yang mungkin tidak tepat atau mengelirukan masyarakat umum mengenai isu tersebut.
Arahan itu, menurut e-mel berkenaan bertujuan menjaga integriti dan mengelak daripada menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“UPM dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan melalui Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM mengenai status isu ini untuk makluman warga kampus.
“Sebagai tindakan awal menangani isu ini di peringkat UPM, UPM memutuskan untuk mengadakan sesi dialog dengan pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam mengendalikan haiwan liar dalam kampus sebagai penyelesaian jangka panjang yang lebih holistik dalam menjaga keselamatan warga kampus, serta memelihara kebajikan haiwan selari dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015,” menurut e-mel itu.
Polis siasat bawah Akta Kebajikan Haiwan
Awal minggu ini, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Farid Ahmad mengesahkan pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap dakwaan tindakan membunuh anjing liar di kampus UPM, selepas seorang pengadu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan universiti yang dikatakan mengupah syarikat kawalan perosak swasta bagi tujuan itu.
Farid berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Peka sebelum ini mendakwa UPM telah mengupah sebuah syarikat berpangkalan di Sentul untuk “membunuh” anjing pada kadar RM400 seekor.
Satu invois bertarikh November 2024 yang didakwa dihantar kepada UPM menunjukkan caj untuk “menangkap dan melupuskan anjing liar” namun tidak menyatakan kaedah pelupusan haiwan berkenaan.
Invois tersebut turut memaparkan beberapa cop rasmi yang didakwa milik UPM.

Susulan dakwaan itu, UPM menyatakan penyesalan terhadap tuduhan Peka bahawa universiti tersebut telah terlibat dalam pembunuhan haram anjing dengan membayar syarikat kawalan makhluk perosak untuk melakukannya.
“UPM juga memandang serius setiap maklum balas dan dakwaan terhadap universiti berhubung pengendalian haiwan liar,” kata kenyataan rasmi universiti itu sambil mengumumkan penubuhan siasatan dalaman bagi menyiasat perkara itu.
Bagaimanapun, langkah tersebut mendapat tentangan Peka.
“Kes jenayah tidak boleh disiasat secara dalaman oleh pihak yang dituduh sendiri,” tegas pertubuhan itu.






