Malaysia Oversight

Strategi PBS: Dulu konfrontasi, kini kompromi

By MkiniBM in October 10, 2025 – Reading time 2 minute
Strategi PBS: Dulu konfrontasi, kini kompromi


Apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) lahir daripada gerakan pemberontakan pada 1985, parti itu menumbangkan negeri dalam beberapa bulan dan muncul sebagai suara lantang bagi komuniti Kadazandusun Murut (KDM) di Sabah.

Empat dekad kemudian, parti yang pernah digeruni kerana keberaniannya itu kini bertutur dalam bahasa berbeza — bahasa kesederhanaan dan kompromi.

Di tengah perubahan itu ialah pemangku presiden Dr Joachim Gunsalam, seorang wakil rakyat lima penggal dan bekas timbalan ketua menteri yang percaya bahawa konfrontasi tidak lagi membawa hasil.

Persekutuan tidak seharusnya dianggap sebagai musuh Sabah.

c173e8a3c67cd769c199fd07cffaf924

“Kita hanya boleh mencapai kemajuan jika kita berunding dengan kekuatan tetapi juga dengan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui sewaktu sedang mengosongkan pejabat menteri dan bersiap untuk pilihan raya negeri Sabah.

Realistik

PBS masih memperjuangkan hak negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 namun bukan dengan slogan populis seperti pesaingnya.

Sementara presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan meniup semangat dengan laungan keras “Sabah untuk orang Sabah”, Gunsalam sebaliknya menumpukan kepada realiti kewangan negeri itu.

cf9b61c5cb231a5092be1ec1715982ba

“Kadang-kadang idea Kitingan tentang autonomi kedengaran seperti kemerdekaan penuh.

“Adakah kita benar-benar mampu menanggungnya? Pertahanan, keselamatan, malah pendidikan dan kesihatan sudah pun menelan kos melebihi hasil negeri Sabah,” katanya.

Dengan pendapatan negeri sekitar RM7 hingga RM10 bilion dan perbelanjaan pendidikan serta kesihatan sahaja melebihi RM11 bilion, Gunsalam berhujah bahawa autonomi perlu dicapai secara berperingkat.

“Adalah tidak praktikal untuk menuntut semuanya sekaligus. Pendekatan konfrontasi tidak membantu.

9ca43f6fa2461125f96ab3284f39e34a

“Ya, kita mesti menuntut hak kita, tetapi pada masa sama, kita perlu membina Sabah yang lebih kuat dalam Malaysia yang lebih kuat.”

Bagi Gunsalam, bukti pendekatan itu dapat dilihat melalui Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang dimeterai dengan Petronas pada 2021.

Perjanjian itu memberi syarikat-syarikat Sabah pegangan lebih besar dalam sektor minyak dan gas, sambil menjamin hasil tambahan melalui cukai jualan.

Walaupun pengkritik seperti Warisan menuduhnya ‘tunduk’, Gunsalam melihatnya sebagai kemajuan.

“CCA menunjukkan apa yang boleh kita capai apabila kita berunding, bukan berkonfrontasi,” katanya.

Dia turut menyebut tentang kuasa peraturan baru Sabah dalam sektor elektrik dan peranannya dalam memperjuangkan pemindahan kuasa kesihatan, termasuk hak untuk memberi vaksin kepada pendatang tanpa dokumen.

“Kalau kita tidak vaksin mereka, kita tidak akan mencapai imuniti kelompok,” katanya — menggabungkan logik perubatan dengan realiti politik.

PBS tidak terlepas daripada kontroversi. Satu video menunjukkan Gunsalam bersama ahli perniagaan Albert Tei, yang didakwa cuba memonopoli lesen perlombongan.

Gunsalam menafikan sebarang salah laku, menjelaskan bahawa Tei menemui beberapa pemimpin secara berasingan dan hanya ketua menteri yang memahami gambaran keseluruhan sebelum menolak permohonan tersebut.

[Baca berita asal]



Source link