Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) memuji kedudukan negara yang bertambah baik dalam Indeks Kebebasan Media tahun ini, naik 19 anak tangga ke tempat ke-88.
Dalam satu kenyataan, setiausaha agungnya Teh Athira Mohamed Yusof mengaitkan kejayaan itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk kelulusan rang undang-undang Majlis Media Malaysia di Parlimen dua bulan lalu.
“Penambahbaikan ini adalah hasil usaha wartawan, editor, dan pengamal media yang bekerja keras yang gigih memperjuangkan kebebasan media di negara ini.
“Peningkatan kedudukan ini juga adalah susulan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia di peringkat parlimen pada Februari.
“Memandangkan kerajaan berusaha ke arah mewartakan Rang Undang-undang, kami berharap ia akan memperkukuh industri kewartawanan di negara ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Semalam, dilaporkan Malaysia telah meningkat ke tempat ke-88 dalam laporan tahunan Reporters Without Borders (RSF) bagi 2025, berbanding tempat ke-107 tahun lepas.
NUJM turut melahirkan harapan untuk melihat pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).
“Dengan penubuhan Majlis Media, kami berharap wartawan tidak lagi terancam di bawah AMCP yang zalim, yang mana kesatuan ini berharap ia akan dihapuskan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut mengaitkan penambahbaikan kedudukan itu dengan pembentukan majlis berkenaan.
“Salah satu faktor utama yang mengakibatkan peningkatan ini ialah Akta Majlis Media Malaysia, yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun ini.
“Ini bermakna usaha Kerajaan Madani untuk menggalakkan kewartawanan yang bebas, bertanggungjawab, dan profesional telah diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Teo, walaupun kementerian tahu masih banyak yang perlu dilakukan, penambahbaikan indeks itu menunjukkan bahawa Malaysia boleh mencapai kemajuan.
“Kementerian dan saya sendiri komited untuk terus berusaha ke arah memastikan kebebasan media, tanggungjawab sosial boleh bergerak seiringan, serta kepelbagaian pendapat dapat terus didengari juga dihormati di negara kita ini,” katanya.