Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pelaksanaan undi pos pada pilihan raya negeri Sabah yang akan datang, agar rakyat negeri itu yang berada di Semenanjung atau Sarawak dapat mengambil bahagian dengan lebih mudah dalam proses demokrasi.
Dalam kenyataan hari ini, Lee menegaskan bahawa ramai rakyat Sabah terpaksa melepaskan hak mengundi kerana harga tiket penerbangan yang melambung tinggi, dan kesukaran mengambil cuti, serta keperluan menempuh perjalanan yang panjang.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya 400,000 rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia, dan jumlah itu “bukan kecil.”
“SPR wajar memberi perhatian serius terhadap hak mereka, serta membenarkan para perantau ini mendaftar sebagai pengundi pos.
“Ini bukan sekadar langkah memudahkan, malah mampu mengurangkan kos pilihan raya, dan ia seharusnya menjadi sebahagian daripada agenda reformasi pilihan raya,” katanya.
Lee berkata pelaksanaan undi pos bukan sahaja boleh meningkatkan kadar keluar mengundi, malah membolehkan rakyat Sabah di Semenanjung mengikuti rapat perkembangan politik di negeri asal mereka.
Ini termasuk memahami tawaran parti-parti politik dan calon yang bertanding.
“Tambahan pula, jika rakyat Sabah di luar negara boleh mengundi melalui pos, tidak ada sebab rakyat Sabah dalam negara tidak boleh menikmati hak yang sama,” katanya.

Ketika ini, undang-undang sedia ada membenarkan rakyat Malaysia di luar negara sahaja mengundi melalui pos di bawah Kategori B peraturan SPR.
Namun, Kategori A undi pos dalam negara hanya terhad kepada lima kumpulan — iaitu anggota SPR, petugas pilihan raya, petugas media yang membuat liputan pilihan raya, serta anggota polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi pada hari pengundian awal.
Lee menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak wajar diketepikan daripada proses demokrasi hanya kerana halangan sistemik, sambil mengingatkan bahawa pelbagai pihak seperti NGO dan ahli politik pernah mengemukakan gesaan sama sebelum ini.
Antara yang turut menyokong langkah ini ialah Sabah Action for Body Rights (Sabar) dan Tindak Malaysia, yang mencadangkan pindaan terhadap Peraturan Pendaftaran Pemilih (ROE) bagi mewujudkan kategori khas pengundi tidak hadir untuk rakyat Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung yang menetap di luar kawasan.

Awal tahun ini, Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud turut menggesa SPR melaksanakan undi pos untuk rakyat Sabah yang bekerja atau menetap di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, SPR pada 2022 mengumumkan bahawa pelaksanaan undi pos bagi kumpulan ini belum dipertimbangkan.
Lee turut menekankan bahawa sekiranya undi pos diperkenalkan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak, pelaksanaannya mesti dilakukan dengan teliti dan berkesan.
“Kertas undi mesti diterima dan dipulangkan sebelum hari pengundian. Jika kertas undi tiba lewat, maka pelaksanaan sistem ini akan menjadi sia-sia,” katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, beberapa pengkritik menegur kelewatan penghantaran kertas undi pos luar negara yang tiba lewat, menyebabkan NGO dan sukarelawan terpaksa membantu menghantar ribuan kertas undi ke Malaysia.
Antaranya termasuk juruterbang yang secara sukarela membawa balik kertas undi bagi memastikan ia tiba kepada pegawai pengurus pilihan raya sebelum pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang, 19 November 2022, semasa pilihan raya umum ke-15.
Walaupun SPR pernah memohon maaf atas masalah undi pos pada 2018, isu sama berulang semula dengan ramai pengundi masih menunggu kertas undi mereka kurang daripada 72 jam sebelum hari pengundian.






