CIMB Bank hari ini secara rasmi melancarkan aplikasi perbankan digital terbaharu mereka yang dikhususkan untuk segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat, yang dikenali CIMB OCTO Biz. Aplikasi ini akan menggantikan penggunaan platform BizChannel@CIMB yang digunakan meluas oleh pemegang akaun perniagaan CIMB.
Aplikasi CIMB OCTO BIZ hadir dengan beberapa fungsi penting yang menjanjikan pengurusan tunai yang lebih lancar, sekaligus menyelesaikan isu pengurusan dana yang sering dihadapi pemilik bisnes dengan sistem perbankan tradisional.

Ini Ciri Utama CIMB OCTO Biz Yang Anda Perlu Tahu
Platform CIMB OCTO Biz direka khas untuk menangani masalah pengurusan kewangan bisnes yang kompleks. Antara keupayaan terasnya adalah:
Papan Pemuka Aliran Tunai Masa Nyata – Yang bertindak memberikan gambaran serta-merta mengenai kedudukan tunai bisnes, membolehkan peniaga membuat keputusan perbelanjaan yang lebih cekap dan proaktif.

SME FlexiCash/-i – Aspek pembiayaan turut diperbaharui menerusi SME FlexiCash/-i, iaitu produk pinjaman berasaskan aliran tunai yang menawarkan had pembiayaan segera, menghapuskan kerumitan dan kelewatan proses pinjaman tradisional, sambil menyediakan pilihan bayaran balik yang lebih fleksibel.

Keupayaan Pembayaran Pukal, 18 Bulan Penyata Bank – CIMB OCTO Biz juga menyokong Keupayaan Pembayaran Pukal untuk pemprosesan gaji, bayaran berkanun seperti KWSP, PERKESO serta transaksi lain secara serentak. Akses ini sekaligus menjimatkan masa operasi perniagaan kalangan pemain bisnes. Dan jika perbankan lain sekadar menyediakan akses penyata selama 12 bulan, CIMB OCTO Biz ini sebaliknya perluas kapasiti tersebut dengan membolehkan pengguna memuat-turun 18 bulan penyata bank.

Kill Switch, Pengesahan Berbilang Faktor Dan Penjejak Perisian Hasad – Pengguna juga mempunyai akses kawalan penuh dengan ciri menyekat akses serta-merta sekiranya berdepan aktiviti transaksi yang mencurigakan melalui “Kill switch”. Akses ini turut disokong dengan penjejak perisian hasad yang akan membekukan akaun peniaga bagi mengelak berlakunya sebarang ketirisan. Selain itu, pengesahan berbilang faktor turut diperlukan dalam menambah-baik tahap keselamatan pengguna.

Secara menyeluruh, setakat tahun 2025 sahaja, platform perbankan perniagaan ini dinyatakan telah merekodkan nilai transaksi sebanyak RM17 bilion merangkumi 7 juta transaksi, yang jelas membuktikan peningkatan permintaan dan penggunaan aplikasi dalam kalangan komuniti pemilik perniagaan di Malaysia. Aplikasi ini juga dijangka akan menambah lebih banyak ciri dan penyelesaian lengkap menjelang akhir tahun kelak dengan pengenalan ciri baharu secara progresif.
Bagi para pengguna akaun perniagaan CIMB, anda boleh memuat-turun aplikasi CIMB OCTO Biz di Apple AppStore dan Google Play Store hari ini.
Penafian: Advertorial dari CIMB Malaysia






