Ahli Parlimen Semporna, Mohd Shafie Apdal, menolak kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menggesanya memastikan bandar di pantai timur Sabah itu tidak menjadi “bandar paling kotor di Asia.”
Shafie menjelaskan bahawa pengurusan sisa pepejal adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diawasi oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah, bukannya ahli parlimen.
“Tanggungjawab menguruskan sisa dan menjaga kebersihan bukan terletak pada ahli parlimen. Ia tugas majlis daerah di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah,” katanya kepada media di ibu pejabat Warisan di Kota Kinabalu semalam.
Nga sebelum ini berkata Shafie sebagai ahli parlimen yang telah berkhidmat lama perlu “turun padang” dan memantau tahap kebersihan di Semporna menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, .
Kenyataan Nga dibuat ketika Sabah bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Tidak jelas mengapa Nga memilih untuk menegur Adun Senallang itu berhubung isu sampah di kawasan parlimennya.
Shafie merupakan presiden Warisan dan ketua pembangkang Sabah, manakala Nga ialah naib pengerusi kebangsaan DAP.
Warisan dijangka akan berentap dengan DAP dalam pilihan raya negeri akan datang, meskipun kedua-dua parti berada dalam gabungan kerajaan Madani di peringkat persekutuan.
Sementara itu, Shafie menegaskan masalah sampah bukan hanya berlaku di Semporna.
“Ini bukan isu Semporna semata-mata. Pulau Gaya, Sandakan, Batu Sapi — banyak tempat menghadapi cabaran yang sama. Sisa terapung datang dari daerah lain.
“Sebab itu penyelesaiannya memerlukan dasar bersepadu, penguatkuasaan yang baik dan dana mencukupi — bukan dengan menuding jari kepada satu kawasan saja,” katanya.






