Kumpulan Palestin Hamas pada Khamis berkata pihaknya telah mengemukakan senarai nama tahanan Palestin untuk dibebaskan oleh Israel selepas kedua-dua pihak mempersetujui fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA)
Dalam kenyataan di Telegram, Hamas berkata pembebasan itu akan dilaksanakan melalui pertukaran tahanan selaras dengan kriteria yang telah dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Menurut Hamas, tahanan Palestin yang kini ditahan di penjara Israel merupakan antara keutamaan utama kumpulan itu dan usaha akan diteruskan “sehingga tahanan Palestin terakhir dibebaskan.”
Dalam kenyataan terdahulu, Hamas mengumumkan bahawa pihaknya telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza oleh Presiden AS Donald Trump, sambil menghargai usaha beliau bersama Turkiye, Qatar dan Mesir.
“Hamas mengumumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai yang merangkumi penamatan serangan di Gaza, pengunduran tentera Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan,” menurut Hamas
Kenyataan kumpulan itu dibuat sejurus selepas Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh AS.
Pelan 20 perkara yang pertama kali diumumkan pada 29 Sept itu merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, gencatan senjata, pelucutan senjata Hamas serta pembangunan semula Gaza.
Tel Aviv menganggarkan hampir 50 tawanan Israel masih berada di Gaza, termasuk sekitar 20 yang dipercayai masih hidup.
Lebih 11,000 rakyat Palestin kini ditahan di penjara-penjara Israel, dengan 3,544 daripadanya ditahan tanpa perbicaraan, menurut pertubuhan hak asasi Israel,Centre for the Defence of the Individual (HaMoked).
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut hampir 67,200 nyawa rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
– Bernama-Anadolu






