Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mempelawa ahli parlimen pembangkang yang masih membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk menetap di flat usang sekitar ibu negara.
Katanya tawaran itu dibuat bagi membolehkan mereka merasai sendiri suasana hidup dalam kawasan seumpama itu, sekali gus membantu memahami kesukaran yang dialami penduduk terbabit.
Menurut Nga, mereka juga ditawarkan untuk mendiami unit kosong dan dikecualikan daripada membayar sewa jika bersetuju untuk berbuat demikian.
“Minggu ini (lepas) kita bawa semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kita pergi lawat sendiri rumah flat. Tepi (rumah flat) itu ngam-ngam ada ular sawa.
“Justeru bagi mereka yang membantah, saya nak jemput ahli parlimen berkenaan, tolong bawa bini kamu, anak kamu, duduk sana, rasa sendiri perasaan rakyat miskin bandar.
“Jangan duduk di banglo sendiri saja, pergi duduk sana… bawa Datin Seri, Datin tinggal rumah flat usang baru tahu kenapa kita nak buat Akta PSB,” katanya.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menjelaskan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah dua kali mempelawa ahli parlimen pembangkang untuk hadir dalam sesi berkaitan penerangan Akta PSB tetapi mereka tidak hadir.
Pada awalnya, dakwa Nga, ahli parlimen terbabit menyatakan persetujuan untuk hadir namun apabila tiba hari yang sepatutnya mereka tidak muncul.
“Ponteng lagi… bukan saja ponteng parlimen. Apabila kita nak bantu rakyat, dia pun ponteng juga,” katanya.
Kios untuk peniaga ada masalah
Terdahulu, Nga bersama exco Pahang, Mohd Fakhruddin Mohd Ariff, hadir pada majlis Sentuhan Kasih 3.0 anjuran KPKT di Kampung Chempaka, dekat Kuantan.
Ditanya sama ada dia akan sekali lagi menjemput pembangkang selepas ini untuk lawatan ke flat usang atau sebaliknya, Nga menegaskan KPKT tidak bercadang untuk berbuat demikian.
Sementara itu, ditanya berkaitan isu gerai-gerai disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk peniaga yang masih kosong walaupun sudah lama siap, Nga memaklumkan usaha untuk menyelesaikan pengagihan sedang pihak berkaitan.
“Ini adalah inisiatif kita memperkasa peniaga kecil, khususnya untuk ‘menghalalkan’ peniaga tanpa lesen.
“Kita akui memang ada kelemahan dan kita ambil langkah pembaikan.
“Macam kios ini menggunakan teknologi hijau dan fasa pertama ada masalah apabila panel solar kios terbabit, bateri tak cukup kuat dan cuma boleh tahan empat jam saja.
“Jadi untuk fasa kedua, kita ada panel solar baru, bateri yang lebih tahan lama dan masih dalam pembinaan,” jelasnya.
Nga bagaimanapun memaklumkan sudah mengarahkan ketua pengarah mengambil tindakan segera dalam hal itu.
Katanya, pihak PBT juga perlu memberi jawapan kepada banyak unit kios masih kosong dan tidak diberikan kepada peniaga.
“Seluruh negara ada 156 PBT, dan mereka yang uruskan bab pengagihan kios, kelulusan permohonan dan sebagainya,” katanya.
Berdasarkan semakan, kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk menyediakan kios itu pada tahun lalu, meningkat berbanding RM50 juta tahun sebelumnya.