Malaysia Oversight

Had bot 12 orang, tekong ditahan bawa 48 penumpang di Pulau Ketam

By MkiniBM in October 9, 2025 – Reading time 2 minute
Had bot 12 orang, tekong ditahan bawa 48 penumpang di Pulau Ketam


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot penumpang yang membawa 48 orang, melebihi kapasiti dibenarkan, di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya berhampiran Pulau Ketam, semalam.

Pengarah Maritim Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan bot itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam pada 1.55 tengah hari mengenai sebuah bot yang membawa penumpang berlebihan di jeti penumpang Pulau Ketam.

40f02a76140f8bf843068e9f71af342a

Beliau berkata bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda APMM digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga lelaki warga tempatan, terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 48 penumpang, melebihi had dibenarkan iaitu 12 orang seperti yang ditetapkan dalam lesen sah operasinya. Ia merupakan kesalahan serius kerana boleh mengancam keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

a14d8c8f301fd04c99d41af03a3411dc

Abdul Muhaimin berkata bot penumpang bersama tiga kru itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, mayat seorang lelaki warga ditemukan berapung pada 8.20 pagi semalam, di kedudukan 1 batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Luo Deliang, 54, dilaporkan hilang pada 12.30 tengah malam, 6 Okt lepas (Isnin), dan merupakan kru kapal korek pasir MV DARRUN 88. Mayatnya ditemukan terapung kira-kira 50 meter dari kapal yang bersauh itu.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club pada 9.10 pagi semalam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

– Bernama



Source link